fb fb fb fb fb

Lans Koperal Alif Monjani hadapi pertuduhan bunuh Nur Farah Kartini

FOTO RTM

KUALA KUBU BHARU, 26 Julai - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan membunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah. 

Tertuduh Muhammad Alif Monjani, 26 tahun menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan  Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza. 

Namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh. 

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa membunuh Nur Farah Kartini Abdullah, 25 tahun antara 10 Julai 2024, pukul 9 pagi hingga 15 Julai 2024 pukul 6.00 petang. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Ladang SKC Kledang, Mukim Hulu Bernam dalam daerah Hulu Selangor. 

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan akan berdepan hukuman mati atau pemenjaraan bagi suatu tempoh tidak kurang daripada 30 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali sebatan.  

Hakim kemudian menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan telco. 

Terdahulu, tertuduh tiba di kompleks Mahkamah Kuala Kubu Bharu sekitar pukul 9.05 pagi dengan memakai kemeja T berwarna hitam dan bergari serta diiringi polis.

TETITIA YUSOFF