fb fb fb fb fb

KPDN serbu pasar raya simpan minyak masak bersubsidi lebih had

Minyak masak ini turut dipercayai dijual kepada warga asing dengan harga lebih tinggi bagi tujuan mengaut keuntungan

NIBONG TEBAL, 19 Januari - Sebanyak 3,480 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi bernilai RM8,700 disita menerusi serbuan di sebuah pasar raya di Sungai Jawi, di sini, petang tadi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata ia juga dipercayai dijual kepada warga asing dengan harga lebih tinggi bagi tujuan mengaut keuntungan.

Beliau berkata, serbuan yang dilakukan oleh lima pegawai penguat kuasa KPDN itu dilakukan menerusi risikan yang dijalankan sejak seminggu lalu berhubung penyimpanan minyak masak yang mencurigakan.

"Premis ini mempunyai lesen runcit minyak masak yang masih sah. Bagaimanapun, had simpanan dibenarkan dalam lesen hanya untuk 1,000 kg sahaja. Terdapat lebihan had simpanan sebanyak 3,480 kg," katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini.

Tambah Jegan, pemilik premis yang merupakan warga tempatan berusia lingkungan 30-an dipercayai mendapatkan bekalan minyak dari pembekal tempatan di sekitar negeri itu.

"Kami telah merekodkan keterangan pemilik pasar raya untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat di bawah Akta kawalan Bekalan 1961," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN