fb fb fb fb fb

Kes rasuah Konsert Double Trouble 2, bekas penolong pengurus didakwa meminta dan terima suapan

Bekas penolong pengurus sebuah syarikat swasta, Noorfadhilah Mohd Idris, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung penganjuran Konsert Double Trouble 2, tahun lepas / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 25 Jun - Seorang bekas penolong pengurus sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan penganjuran Konsert Double Trouble 2, tahun lepas.

Tertuduh, Noorfadhilah Mohd Idris, 37 tahun, yang kini hamil lapan bulan didakwa meminta suapan sebanyak RM30,000 sebagai upah membantu mendapatkan kelulusan Geran Dana Kandungan Digital bagi syarikat Playmad Sdn Bhd untuk penganjuran konsert tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa menerima suapan iaitu cek tunai bernilai lebih RM13,000 daripada akaun bank milik Anggerik Event Sdn Bhd.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu antara Januari dan 11 September 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika disabitkan kesalahan, Noorfadhilah boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN