fb fb fb fb fb

Kes bunuh graduan UPSI dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam

Kes membabitkan anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhammad Alif Monjani atas dakwaan membunuh graduan UPSI, Nur Farah Kartini Abdullah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan / Foto RTM

HULU SELANGOR, 28 Mei – Kes membabitkan anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhammad Alif Monjani atas dakwaan membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan.

Perintah tersebut dibuat Majistret Nurul Izzah Hasan Basri selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka telah memperoleh kebenaran untuk memindahkan kes tersebut dari Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Timbalan Pendakwa Raya, Eirene Nabila Amani Williams-Hunt dalam prosiding hari ini memohon agar kes berkenaan dipindahkan ke mahkamah berkenaan.

Bagaimanapun, tarikh sebutan pertama di Mahkamah Tinggi Shah Alam masih belum ditetapkan.

Dalam prosiding itu, tertuduh, Muhammad Alif, 27, diwakili peguam Aida Jaafar.

Sebelum ini, kes berkenaan beberapa kali ditangguhkan kerana beberapa dokumen penting termasuk laporan kimia masih belum diperoleh.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Alif didakwa menyebabkan kematian Nur Farah Kartini, 26, di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam antara pukul 9 pagi pada 10 Julai hingga 6 petang, 15 Julai 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN