KOTA KINABALU, 3 September - Pakar Patologi, Dr Jessie Hiu mengesahkan kecederaan dialami Zara Qairina Mahathir, konsisten iaitu jatuh dari tempat tinggi, bukan ditolak atau terjatuh secara tiba-tiba.
Dr Jessie Hiu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada hari pertama prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina, kepada Timbalan Ketua Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad sebelum Koroner Amir Shah Amir Hassan menangguhkan pendengaran kira-kira 4.30 petang.
Kecederaan yang dialami Zara dijelaskan dengan merujuk kepada lebih 180 keping gambar bedah siasat sebagai bahan bukti.
Sesi pendengaran hari pertama inkues Zara Qairina Mahathir, bermula pada pukul 9.15 pagi dengan sesi soal jawab bersama peguam keluarga, pemerhati dan peguam mewakili ayah Zara Qairina, iaitu, Sherzali Asli, mewakili Mahathir Hashim@Marikin, 44 tahun.
Sebelum sesi pendengaran ditangguh pada 10.00 pagi dan sebelum bermula semula pada 10.30 pagi, Koroner Amir Shah sempat memutuskan deponen atau saksi pertama akan memberi keterangan pada pukul 2.00 petang.
Sementara, dalam sesi soal jawab berkenaan juga memutuskan 11 September ini, sebagai lawatan ke tapak kejadian di Papar. Tarikh lawatan asal dipohon pada 12 September, namun mendapat persetujuan ramai pada tarikh tersebut
Dalam sesi sama, Mahkamah turut membenarkan permohonan ibu dan bapa Zara Qairina serta semua peguam mewakili pesalah kanak-kanak menjadi pihak berkepentingan.
Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) juga dibenarkan menjadi peguam pemerhati dan ‘ammicus curae’ selain, Kementerian Pendidikan juga dibenarkan menjadi peguam pemerhati.
Koroner Amir Shah sekali lagi menangguh prosiding berkenaan sekitar 11.05 pagi, sebelum bersidang semula pada 2.00 petang.
Dr Jessie Hiu, 58 tahun, dalam sesi penerangannya memberitahu, beliau salah seorang daripada empat pakar forensik yang melakukan autopsi ke atas remaja berusia 13 tahun itu di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 10 Ogos lalu.
Mahkamah mengklasifikasikan keterangan Dr Jessie Hiu sebagai exhibit (bukti yang boleh diterima).
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar kira-kira pukul 4.00 pagi, 16 Julai.
Prosiding hari kedua akan menyaksikan Dr. Jessie sekali lagi menyambung semula sesi pendengarannya.
Prosiding dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali iaitu Nahra Dollah, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan serta Dacia Jane Romanus.