fb fb fb fb fb

Juruukur tanah didakwa cuba bunuh dua anggota polis

Foto RTM

GEORGETOWN, 30 Oktober-Seorang juruukur tanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan cubaan membunuh dua anggota polis pada 25 Oktober lalu.

Tertuduh, Ammar Faris Zainulkifli membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Juraidah Abbas.

Mengikut kertas pertuduhan dia didakwa  dengan niat cuba menyebabkan kematian terhadap Lans Koperal Mas Safiq Azizan Matzrol dan Koperal Mohd Norhasmi Ab Razak yang sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah dengan memandu kereta jenis Honda Civic nombor pendaftaran PFN 5997 dan cuba melanggar mereka.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Kelawei,kira-kira pukul 4.50 petang pada 25 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM7000 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong.

Mahkamah menetapkan 20 November sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam kes berasingan, berasingan, seorang nelayan berdepan tuduhan membunuh seorang warga Pakistan, pada 21 Oktober lepas.

Tertuduh, Keong Chan Kyam, didakwa cuba membunuh Rashid Mahmood di kedai Soon Huat di Jalan Burmah , pukul 4.00 petang pada tarikh yang sama.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu dibuat di hadapan Hakim Majistret Mohd Azlan Basri.

Syairah Aqilah Khalil bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD