KUALA LUMPUR, 10 Januari - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur memandang serius menjaga keindahan dan identiti kawasan melancong di ibu negara sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya komited meningkatkan penguatkuasaan di kawasan tumpuan sekitar Kuala Lumpur yang dikenalpasti.
"Saya sudah buat arahan tempat ini (kawasan panas) akan dibuat pemeriksaan penguatkuasaan sekurang-kurangnya sekali satu bulan untuk pastikan bahawa negara kita 2026 sempenaTMM 2026 akan menjadi tempat selesa kepada pengunjung. Kita perlu pastikan tempat ini menjadi mewakili wajah dan identiti Malaysia," kata Mohammed Saupee.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan operasi "KL Strike Force" di sekitar Jalan Petaling, petang tadi.
Dalam operasi itu seramai 77 lelaki warga asing diperiksa dan 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia lingkungan 22 hingga 55 tahun telah ditahan.
Kesemua ditahan terdiri daripada 26 warga Bangladesh, empat warga Myanmar, dua warga Pakistan serta masing-masing seorang dari Mauritius dan Nepal.
Mereka dibawa ke Pejabat Imigresen di Jalan Duta untuk siasatan lanjut atas beberapa kesalahan terutamanya tiada dokumen ataupun tiada pas imigresen yang sah.