KUALA LUMPUR, 21 Mei- Sindiket ‘gadis kalung bunga’ yang beroperasi selama dua tahun ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di dua lokasi perniagaan sekitar ibu negara, semalam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi dijalankan pada pukul 9 malam hasil risikan selama tiga minggu oleh pasukan operasi di dua premis perniagaan di Jalan Pudu dan Jalang Changkat Thambi Dollah.
"Modus operandi sindiket adalah menyediakan perkhidmatan perempuan warganegara asing dengan kalungan bunga yang mempunyai harga berbeza. Pelanggan akan diberi pilihan untuk memilih kalungan bunga pada kadar harga bermula RM100 hingga RM5000 bagi satu jam bergantung kepada jenis dan bentuk kalung bunga tersebut.
"Transaksi bayaran yang dilakukan oleh pelanggan adalah melalui tunai atau secara dalam talian sebelum perempuan warganegara asing diserahkan kepada pelanggan. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama dua tahun,"katanya.
Susulan itu, 50 warga asing ditahan membabitkan lima lelaki warga Myanmar, dan masing-masing seorang lelaki warga China serta Nepal.
Turut ditahan 41 wanita warga China, tiga wanita Indonesia, dan seorang wanita Myanmar. Kesemua warga asing terbabit berusia lingkungan 17 hingga 60 tahun.
Kesemua warga asing itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1966, Akta Pasport 1966 dan telah dibawa ke Depot Imigresen Semenyih.
Sebanyak 36 naskhah pasport China, satu pasport Indonesia, peralatan kamera litar tertutup (CCTV) dan wang tunai sebanyak RM13,830.00 dirampas dalam serbuan berkenaan.
JIM turut menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan bawah Seksyen 55 E Akta Imigresen 1959/63, dan seramai 20 lagi lelaki tempatan diberikan notis bagi membantu siasatan.