fb fb fb fb fb

Ganggu ketenteraman awam, Polis Kelantan tahan 15 individu

FOTO HIASAN

PASIR MAS, 17 Disember - Polis menahan 15 individu kerana mengganggu ketenteraman awam di sekitar kawasan lampu isyarat berhampiran sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, di sini yang dilanda banjir, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner (ACP) Kama Azural Mohamed dalam satu kenyataan berkata, enam daripadanya merupakan pelajar sekolah.

Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 14 dan 20 tahun, dan sembilan saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti mengubah suai kenderaan serta tidak mempunyai lesen memandu.

"Kira-kira pukul 6.00 petang, pihak polis terima makluman daripada orang awam menyatakan terdapat aktiviti bermotosikal yang mengganggu ketenteraman awam di sekitar kawasan lampu isyarat sebuah stesen minyak Rantau Panjang yang dinaiki air.

"Pihak polis telah membuat pemantauan dan mengambil tindakan menahan 15 motosikal dan membawa balik ke Balai Polis Rantau Panjang untuk proses dokumentasi serta pengeluaran saman atas pelbagai kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular di media sosial sekumpulan penunggang motosikal berkumpul di lokasi itu yang dinaiki air susulan limpahan air Sungai Golok.

TETITIA YUSOFF