JOHOR BAHRU, 28 November- Dua lelaki termasuk seorang remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan niat membakar sebuah kereta di Taman Bukit Indah pada 22 Oktober lalu.
Pengakuan tertuduh, Chin Kah Ang, 20, dan seorang remaja berusia 15 tahun direkodkan di hadapan Hakim Datuk Kamal Arifin Ismail.
Mereka didakwa membakar kenderaan milik seorang lelaki berusia 28 tahun di Jalan Indah 2/7, kira-kira pukul 2.00 pagi.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 setiap seorang. Kes akan disebut semula pada 30 Disember depan untuk penyerahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Chin Kah Ang diwakili peguam K. Barathi, manakala remaja terbabit diwakili P. Rajagunaseelan.