fb fb fb fb fb

Boss Mario menyendiri dalam rumah kosong, tertekan fikir bonus pekerja

Pempengaruh media sosial, Yew Boon Xiang atau dikenali sebagai 'Boss Mario'

MELAKA, 4 Februari- Pempengaruh media sosial dikenali sebagai Boss Mario ditemukan selamat dan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di Jalan Syed Abdul Aziz.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit menerusi satu kenyataan berkata Boss Mario, atau nama sebenarnya Yew Boon Xiang, 30, sebenarnya tidak hilang namun berada di dalam keadaan tertekan, kerana tidak dapat menguruskan dua kedai telefon bimbitnya.

“Keberadaan Boss Mario di hospital berkenaan dimaklumkan oleh polis menerusi abangnya yang mengesan penggunaan perkhidmatan e-panggilan oleh pempengaruh itu untuk ke hospital terbabit sebelum menghubungi pusat rawatan itu untuk pengesahan kira-kira 2.15 petang tadi.

“Boss Mario dikatakan tertekan untuk menguruskan dua kedai telefon bimbitnya serta memberi bonus kepada 22 orang pekerjanya dan bertindak duduk di sebuah rumah kosong sekitar Klebang,” katanya.

Semalam, media melaporkan pempengaruh itu dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu tanpa dapat dikesan oleh ahli keluarganya.

Dia dikatakan keluar memandu seorang diri ke Pantai Klebang kira-kira pukul 3 pagi dan keretanya ditemukan ditinggalkan di kawasan itu dalam keadaan berkunci.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE