fb fb fb fb fb

Belasah isteri hingga koma, peniaga diarah bela diri

Rosmaini Abd Raof, diperintah membela diri di Mahkamah Sesyen di sini, pada 24 Januari ini.

JOHOR BAHRU, 17 Januari - Peniaga yang didakwa membelasah isterinya sehingga koma, tiga tahun lalu, Rosmaini Abd Raof, diperintah membela diri di Mahkamah Sesyen di sini, pada 24 Januari ini.

Perintah dikeluarkan Hakim, Fatimah Zahari, pagi tadi, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan .

Tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah, selepas mahkamah memberi pilihan, sama ada untuk membuat akuan bersumpah, tanpa bersumpah, atau berdiam diri.

Tertuduh diwakili peguam T.C Lim, manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Pada 4 Mei 2021, Rosmaini didakwa dengan sengaja, mendatangkan kecederaan parah kepada isterinya, Jahidah Nordin @Sylvester, 46 tahun.

Perbuatan didakwa dilakukan di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin pada pukul 6.00 pagi.

Setakat ini, keluarga Jahidah Nordin memaklumkan mangsa masih dalam keadaan koma di Seremban.

ZEHRA BINTI ZAMBRI