fb fb fb fb fb

Bekas pensyarah didakwa miliki bahan, sebar ideologi Daesh

Tertuduh, Abdullah Daud, 70, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU, 21 Julai- Seorang bekas pensyarah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas empat pertuduhan termasuk menyokong aktiviti serta menanam ideologi berkaitan perlakuan perbuatan militan Daesh.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Abdullah Daud, 70, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Lelaki itu didakwa memiliki bahan berkaitan Daesh iaitu dua buah buku, dua buah video dan dua buku digital serta membenarkan kediamannya dijadikan markas perjumpaan kumpulan terbabit.

Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Jalan Takwa, Kampung Melayu Kangkar Pulai, di sini antara 3 September tahun lalu hingga 28 Jun lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130G(a); Seksyen 130JB(1)(a) dan Seksyen 130H(a) Kanun Keseksaan.  

Di mahkamah sama, seorang lagi tertuduh, Mohammad Awang, 48, turut didakwa atas dua pertuduhan memiliki bahan berkaitan Daesh dalam telefon bimbit dan komputer ribanya.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Taman Daya, Johor Bahru pada 7.05 pagi, 23 Jun lepas.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Unit Jenayah Berat Jabatan Peguam Negara Rullizah Abdul Majid dan Lina Hanani Isamil, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguamn.

Mahkamah menetapkan 18 September depan sebagai sebutan semula kes.

2107 DAKWA IDEOLOGI PENGGANAS IS FTP 2
Tertuduh, Mohammad Awang, 48, didakwa atas dua pertuduhan memiliki bahan berkaitan Daesh

SITI AISHAH MD ISA