KUALA LUMPUR, 3 Februari- Bekas Pengarah Urusan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd (SKTT) mengesahkan syarikat itu telah mengeluarkan tiga cek berjumlah RM629,395.30 atas nama Datuk Seri Azlan Man selepas bekas Menteri Besar Perlis itu membatalkan tempahan percutian keluarganya ke London, United Kingdom.
Shafiei Ismail memberitahu ketika dirujuk kepada tiga salinan imej cek Maybank SKTT masing-masing bertarikh 14 Februari 2014, 5 Februari 2015 dan 20 Januari 2016 atas nama Azlan Man semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya dalam perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu, yang berdepan 10 pertuduhan berkaitan pengemukaan tuntutan palsu dan penerimaan wang hasil aktiviti haram di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Pada 21 Ogos tahun lepas, Pengarah SKTT, Alimah Omar, memaklumkan mahkamah, beliau dan pengurus besar syarikat pelancongan itu, Zulkamar Abu Bakar, telah menandatangani tiga cek berjumlah atas nama Azlan sebagai bayaran pembatalan pakej percutian tersebut bagi tahun 2014, 2015 dan 2016.
Alimah turut menyatakan bahawa bayaran tersebut sepatutnya dibuat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 21 April depan.