fb fb fb fb fb

Ahli perniagaan tidak mengaku pecah amanah dan salah guna harta syarikat

Tertuduh Chan Eng Leong, 50 tidak mengaku salah atas enam pertuduhan menipu, pecah amanah dan menyalahgunakan harta syarikat bernilai RM13.4 juta /Foto RTM

BUTTERWORTH, 29 Mac -Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan menipu, pecah amanah dan menyalahgunakan harta syarikat bernilai RM13.4 juta.

Tertuduh,Chan Eng Leong membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Noor Aini Yusof di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa  menipu pengarah syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn Bhd dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan datang membuat serbuan serta rampasan dan sita wang tunai di bawah Akta Pencegahan Wang Haram (AMLA) 2001, lima tahun lalu.

Alasan tertuduh berupaya menyelesaikan kes dengan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) atas urusan eksais rokok cerut telah mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah hampir RM11 juta.

Kesalahan dilakukan di sebuah premis di Taman Berjaya Indah dan Bukit Teh di Machang Bubok, Seberang Perai Tengah antara 11 April 2019 hingga 21 November 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun serta sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa mengikut  Seksyen 409 dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah melibatkan wang syarikat bernilai RM2.4 juta pada tarikh dan lokasi yang sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raya Muna Mohamed Jaafar dan tertuduh diwakili peguam, RSN Rayer.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dan menetapkan 10 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD