fb fb fb fb fb

90% kes rogol di Kelantan libat remaja bawah umur, atas dasar rela

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat / BERNAMA

KOTA BHARU, 9 April- Statistik membimbangkan. Polis Kelantan mendedahkan peningkatan ketara dalam kes rogol dan sumbang mahram saban tahun, dengan remaja bawah umur menjadi pelaku dan mangsa utama, kebanyakannya berlaku atas dasar rela.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan, sebanyak 252 kes direkodkan pada tahun 2024 berbanding 206 kes pada 2023, menunjukkan peningkatan yang tidak boleh dipandang ringan.

Lebih mengejutkan, 90.98 peratus daripada kes yang direkodkan bukan melibatkan serangan seksual secara paksa, tetapi berlaku atas persetujuan bersama antara pasangan remaja yang masih belum cukup umur, sesetengahnya seawal 10 tahun.

“Trend di Kelantan ni, kes rogol majoritinya bukan sebab paksaan. Hasil siasatan, hampir 91% berlaku suka sama suka. Malah, ada kes pelik, remaja perempuan sendiri yang ajak lelaki,” tegasnya dalam satu sidang media khas di IPK Kelantan hari ini.

Antara kes terbaru minggu lalu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang secara sukarela mahu melakukan hubungan dengan bapa saudaranya berusia 20-an dan kini dilaporkan hamil.

Polis turut mendedahkan bahawa banyak pelaku dan mangsa menyimpan gambar serta video pornografi dalam telefon bimbit masing-masing termasuk kalangan remaja perempuan.

Datuk Mohd Yusoff menyifatkan situasi ini sebagai “kecemasan sosial”, dengan punca utama dikenal pasti seperti konflik dan ketidakhadiran ibu bapa, hubungan cinta bawah umur, pengaruh rakan sebaya, kurangnya didikan agama serta penyalahgunaan dadah.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak melindungi atau mendiamkan kejadian seperti ini, apatah lagi jika melibatkan ahli keluarga sendiri.

“Rogol tetap rogol di sisi undang-undang. Umur bawah 16 tahun, rela atau tidak, tetap jenayah. Jangan normalisasikan atau cuba lindungi pelaku,” katanya lagi.

Sementara itu, Polis Kelantan merekodkan penurunan ketara dalam nilai rampasan dadah bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, susulan penguatkuasaan larangan merentas sempadan melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sejak akhir tahun lalu.

Datuk Mohd Yusoff memaklumkan, nilai rampasan dadah direkodkan sehingga Mac lalu adalah lebih RM2.2 juta, jauh lebih rendah berbanding RM5.3 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

"Penurunan sebanyak 58 peratus atau kira-kira RM3 juta ini merupakan satu pencapaian besar, hasil kawalan sempadan yang lebih ketat dan tindakan proaktif pihak berkuasa,” katanya.

Bagaimanapun, jumlah kes jenayah narkotik bagi suku pertama 2025 menunjukkan sedikit peningkatan dengan 7,138 kes direkodkan, berbanding 7,056 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, indeks jenayah keseluruhan di Kelantan turut menunjukkan trend menurun dengan 462 kes dicatatkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini menurun sebanyak 95 kes berbanding 557 kes tahun lalu, iaitu penurunan sebanyak 17 peratus.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE