fb fb fb fb fb

9 kereta mewah milik bekas setiausaha politik, ahli perniagaan Datuk Seri disita SPRM

Sembilan kenderaan mewah disita, dirampas dan disimpan di gudang sitaan SPRM

KUALA LUMPUR, 27 Januari - Sembilan kenderaan mewah milik bekas setiausaha politik kepada bekas menteri dan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, kenderaan mewah tersebut dipercayai hasil sumber rasuah yang telah diperoleh oleh suspek daripada beberapa syarikat yang mendapat tender di sebuah kementerian.

Antaranya, Rolls Royce Ghost V12 Ewb, Mercedes-Benz G63 Amg Brabus, Range Rover Autobiography, Porche Cayenne, Toyota Land Cruiser, Mini Cooper Works Rhd, Toyota Alphard dan Vellfire serta Mercedes-Benz S400L.

Kesemua kenderaan mewah itu kini disita dan dirampas di gudang sita SPRM.

"Mereka dipercayai menerima suapan daripada syarikat serta kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian sekitar 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.

“Sepanjang tempoh siasatan, SPRM menyita dan merampas beberapa buah kenderaan mewah yang dimiliki oleh suspek,” menurut sumber terbabit.

2701 SPRM REMAN
 Kedua-dua suspek itu telah direman selama empat hari bermula 24 Januari lepas bagi membantu siasatan

Susulan itu, tempoh tahanan reman kedua-dua suspek berusia 40-an itu disambung tiga hari lagi bermula esok hingga 30 Januari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Ain Nurshahira Sahzan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

"Sebelum ini, kedua-dua suspek itu telah direman selama empat hari bermula 24 Januari lepas bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan lanjutan reman terhadap dua suspek berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009," katanya.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN