fb fb fb fb fb

Pemilik suara ikonik Darth Vader, James Earl Jones meninggal dunia

James Earl Jones (KIRI) berdiri sebelah watak jahat filem Star Wars, Darth Vader

LOS ANGELES, 10 September- James Earl Jones, pelakon dengan yang dikenali sebagai pemilik suara penjahat "Star Wars", Darth Vader, telah meninggal dunia pada usia 93 tahun, pada Isnin.

Jones, yang juga memainkan suara watak Raja Mufasa dalam filem animasi Disney "The Lion King," memiliki kerjaya yang prolifik dan penuh warna-warni.

Sepanjang lebih enam dekad, beliau bekerja bersama beberapa tokoh terhebat dalam dunia perfileman dan teater, termasuk Stanley Kubrick dalam satira Perang Dingin tahun 1964, "Dr. Strangelove."

Beliau juga memegang peranan dalam filem Arnold Schwarzenegger, "Conan The Barbarian," dan filem Kevin Costner tahun 1989, "Field of Dreams."

Namun, watak penjahat ikonik dalam "Star Wars" yang menjadikannya paling dikenali.

Walaupun fizikal Darth Vader yang gagah dihidupkan oleh pelakon British, David Prowse, suara yang sinis dan menakutkan yang datang dari dalam topeng itu adalah hasil daripada Jones.

Suara Jones juga memberikan beberapa baris dialog yang paling ikonik dalam francais "Star Wars," termasuk ketika dia mendedahkan kepada Luke Skywalker lakonan Mark Hamill "I am your father."

Hamill turut berkongsi berita mengenai kematian Jones di media sosialnya pada Isnin: "#Rip dad" dengan emoji hati patah.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE