fb fb fb fb fb

Mind Matters, program baharu RTM papar isu berkaitan kesihatan mental

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 4 Disember- Menyokong inisiatif dan usaha meningkatkan kesejahteraan mental dalam kalangan masyarakat, RTM bakal membawakan program terbaharu bertajuk “Mind Matters” yang memaparkan isu-isu dan informasi mengenai dunia kesihatan mental, perkongsian kaedah rawatan dan tip-tip daripada pakar.

Menampilkan Aiman Amri sebagai hos, program 13 episod itu akan disiarkan mulai 6 Disember ini, setiap Jumaat, pukul 5.30 petang di saluran Okey dan penstriman langsung menerusi RTMKlik.

Antara topik yang diketengahkan termasuk berkaitan ‘Self Diagnosed dan Kesan Media Sosial’ iaitu bagaimana media sosial mempengaruhi persepsi diri dan kesihatan mental, serta menyelidik kesan jangka panjang dan strategi untuk menguruskan penggunaan media sosial dengan bijak.

Penonton turut dibawa meneroka kesan negatif seperti tekanan sosial, perbandingan diri dan isolasi sosial yang boleh membawa kepada masalah kesihatan mental seperti anxiety, kemurungan, dan tekanan.

Program turut mengupas topik ‘Intervensi Krisis’ iaitu perbincangan mengenai cara mendapatkan rawatan awal gangguan kesihatan mental dengan memahami perbezaan antara psikologis, psikiatris, kaunselor dan ahli terapi cara kerja di samping menyingkap bagaimana sektor intervensi krisis pusat bantuan dan talian kesihatan mental beroperasi.

Perkongsian topik ‘Stigma, Naratif Negatif dan Kesedaran’ pula menyentuh bagaimana stigma sosial dan stigma diri berperanan dalam mempengaruhi dan memperburuk keadaan kesihatan mental seseorang.

Seterusnya tentang ‘Caregiver’ iaitu tulang belakang dalam memastikan individu yang mengalami gangguan mental merasa dihargai, didengar, dan tidak sendirian dalam
perjalanan mereka.

Jangan lupa untuk saksikan “Mind Matters”di TV Okey dan RTMyKlik, Sabtu ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE