fb fb fb fb fb

MAHARDIKA konsert ambang merdeka gabungan mantap sulung Spider, Ella dan Kugiran Masdo

 KUALA LUMPUR, 28 Julai - Buat julung kalinya, kumpulan legenda Spider, ratu rock negara, Ella dan kugiran dambaan generasi masa kini, Masdo bakal berkongsi pentas menerusi konsert Mahardika 2024.

Bagi kumpulan yang popular menerusi lagu Relaku Pujuk menyifatkan beraksi di pentas Mahardika merupakan momen terbaik buat Spider.

Rustam Mustafah atau lebih dikenali sebagai Tam Spider berkata hampir tiga dekad Spider tidak mengadakan persembahan di negeri yang terletak di utara tanah air itu.

"Kita dah lama tak buat persembahan seperti ini. Di Penang selalu macam showcase, kadang-kadang saya seorang, kali ini kita full band. Dapat sambut merdeka pulak dekat situ jadi itu pengalaman yang dah lama kita tak rasa," katanya kepada RTM baru-baru ini.

Kugiran Masdo pula berharap peminat tidak melepaskan peluang hadir ke konsert itu nanti kerana ini merupakan kolaborasi pertama mereka bersama Spider dan Ella.

"Spider dan juga Ella ni pernah mewarnai perjalanan hidup kami sebab membesar mendengar lagu-lagu karya daripada mereka jadi dapat berkongsi pentas ni macam tak percaya -- sebab tak silap saya ini kali pertama kami berkongsi pentas dengan mereka.

"Ini kali pertama dan kita sangat lah teruja dan sangat tak sabar sebab mimpi jadi kenyataan umpamanya jadi kita akan bagi sehabis baik bersama mereka pada hari kejadian nanti," katanya.

Mahardika yang bermaksud ‘Malam Hari Merdeka’ itu bakal berlangsung pada 30 Ogos depan di Spice Arena Penang, Pulau Pinang.

GRACE AISYAH KEDAYAN