KUALA LUMPUR, 17 Disember- KRU trio tiga beradik, Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim akan memukau peminat di atas panggung Axiata Arena pada 3 Mei 2025 dengan Konsert GENKRU.
Trio berkenaan memaklumkan penganjuran konsert berkenaan sesuai dengan usia kumpulan itu yang mencecah 33 tahun.
"Selepas lebih enam tahun tidak membuat konsert berskala besar bersama KRU, kami menerima cadangan Icon Entertainment menganjurkan Konsert GENKRU kerana mempunyai misi dan visi yang sama dengan kami.
"Konsert GENKRU bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi akan menjadi sebuah sejarah perjalanan lebih 30 tahun KRU dalam merevolusikan muzik tempatan setaraf dengan muzik Nusantara dan antarabangsa.
"Konsert ini akan menjadi medan peminat melihat transisi KRU dari generasi 90-an sehingga berkembang dan membina empayar kami pada masa kini," ujar KRU.
Sementara itu Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, trio berkenaan menerima pelawaan untuk konsert mega tersebut pada September lalu.
"Adalah menjadi penghormatan buat Icon Entertainment mempersembahan Konsert GENKRU kerana kredibiliti dan sejarah demi sejarah yang telah dicetak KRU sejak tahun 90-an sehingga membentuk gelombang muzik yang cukup berpengaruh kepada semua generasi sehingga kini. Saya sebenarnya telah merisik mereka dari 1 November 2022 lagi.
"Tidak ada banyak janji yang ingin saya berikan kecuali anda akan rugi besar jika tidak menghadiri Konsert GENKRU pada 3 Mei 2025.
"Ini merupakan penampilan sulung Norman, Yusry dan Edry selepas sudah sangat ranum dalam semua aspek industri hiburan selepas menebarkan virus 'fanatik' terhadap muzik tempatan yang punya kualiti hebat setaraf muzik dunia," katanya.
Harga tiket untuk konsert tersebut akan dijual pada RM258 hingga RM588 secara dalam talian pada 20 Disember pada pukul 11.00 pagi.