KUALA LUMPUR, 14 Februari- Konsert Hari Radio Sedunia 2025 terbitan khas Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan diadakan hari ini pukul 9.00 malam di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang.
Konsert berkenaan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 dan disaksikan menerusi RTMKlik sempena sambutan Hari Radio Sedunia yang disambut pada setiap 13 Februari setiap tahun.
Antara penyanyi yang akan membuat persembahan pada konsert itu ialah Ella, Datuk Zainal Abidin, Baggio, Shiha Zikir, Ezad Lazim, Mimi Fly, Aisha Retno, dan Zaki Yamani.
Konsert dua jam itu turut diserikan dengan persembahan pemenang pertandingan nyanyian terbitan RTM iaitu Hisyam Rahim (Bintang Klasik), Nadia (Bintang Klasik), Jaclyn Jacinta (Bintang Aifm) dan Nimalan (Bintang Minnalfm).
Selain itu konsert berkenaan turut menggabungkan barisan pengacara yang juga merupakan DJ Radio Popular RTM iaitu DJ Sonic dari NASIONALfm, DJ Izham (MUTIARAfm), DJ Edith (KENINGAUfm) dan DJ Reenayz (SARAWAKfm).
Konsert berkenaan turut menampilkan pengacara jemputan iaitu DJ Muaz Koolfm dan DJ Tyzo Ikimfm.