fb fb fb fb fb

FPM@KL 2024 semarak keunikan seni tradisi rakyat

Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris

KUALA LUMPUR, 5 September - Lebih 150,000 pengunjung dijangka membanjiri Dataran Merdeka bagi memeriahkan Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024 (FPM@KL 2024) pada 14 hingga 16 September ini.

Acara tahunan yang memasuki edisi kesembilan itu merupakan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris dalam satu kenyataan berkata, penganjuran bersempena Hari Malaysia itu bertujuan menyemarakkan dan mengangkat kembali keunikan kesenian tradisi rakyat menerusi permainan tradisional.

"Program berkonsepkan festival itu merangkumi pelbagai kegiatan dan pengisian menarik antaranya pertandingan permainan tradisional, permainan interaktif, cita rasa warisan, pameran dan demonstrasi, persembahan seni budaya serta jualan.

"Seramai 2,639 peserta terdiri daripada badan beruniform, sektor korporat dan institusi pengajian tinggi bakal terlibat dalam 10 pertandingan sukan tradisional yang dikelolakan Persatuan Sukan Tradisional Malaysia,"menurut Amran.

Beliau berkata, ia meliputi acara tarik tali tradisional, galah panjang, tuju tin, batu seremban, sepak raga ratus, bola sepak kain sarung, kelereng, terompah gergasi, menyumpit dan memanah tradisional. 

Turut diadakan Kejohanan Tarik Tali Kelab-Kelab Antarabangsa bawah penyelarasan Persatuan Tarik Tali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan kelab dari Brunei, Taiwan dan Singapura dan 60 kelab tempatan dari seluruh negara.

"Aktiviti lain yang akan berlangsung antaranya Baca Puisi Suara Kuala Lumpur, Pesta Cita Rasa Sambal, Eksplorasi Bahasa, Senam Joget P Ramlee dan Saloma, Pertandingan Kabaddi Terbuka Malaysia, Kejohanan Seni Silat Kreatif Berkumpulan dan Kejohanan Gasing Pangkah atau MyGasing Championship, " katanya.

Dua acara induk bersama-sama FPM@KL 2024 ialah Festival Gendang dan Tari Antarabangsa (GENTA) dan Program Kuala Lumpur Cinta Rasul bawah penyelarasan DBKL.

TETITIA YUSOFF