fb fb fb fb fb

Faizal Tahir lancar album 'Jati Diri' berkonsepkan kenduri kendara

Faizal Tahir

KUALA LUMPUR, 4 Februari- Penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Faizal Tahir melancarkan album terbaharunya berjudul 'Jati Diri' yang menampilkan konsep kenduri kendara dan rewang.

Album itu merupakan hasil kerjasama dengan penerbit muda Glowrush yang berkolaborasi sebagai duo 'Let Zapin'.

Konsep berkenaan dipilih untuk mengetengahkan nilai perpaduan, gotong-royong dan semangat kebersamaan yang semakin pudar dalam masyarakat moden.

Faizal berkata album tersebut bukan sahaja karya muzik, tetapi juga satu peringatan agar masyarakat tidak melupakan akar budaya dan identiti mereka dalam arus globalisasi.

"Apabila kita berkumpul untuk sesuatu yang positif, kita bukan sahaja memperoleh keberkatan, tetapi juga memperkukuhkan semangat kasih sayang antara satu sama lain," katanya.

Album itu turut menampilkan dua figura besar, Altimet dan Datuk M. Nasir sebagai penyanyi undangan.

Dengan susunan muzik yang berakar kepada budaya tempatan, 'Jati Diri' memaparkan gabungan elemen tradisional dan moden untuk kekal relevan dengan peminat muda.

"Saya berusaha menyampaikan mesej melalui muzik yang kreatif dan kontemporari tanpa mengorbankan nilai tradisional. Album ini menggabungkan elemen muzik tradisional dengan sentuhan moden agar kekal relevan di hati peminat muda," katanya.

Lagu pertama, 'Orang Kampung' yang ceria dan penuh semangat, meraikan kehidupan di kampung dan nilai-nilai kebersamaan.

Video lirik lagu ini sudah boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir, sementara album 'Jati Diri' akan dilancarkan di platform penstriman digital pada 7 Februari ini.

SITI AISHAH MD ISA