fb fb fb fb fb

Datuk Jamal Abdillah cabar diri dalam konsert solo Februari tahun depan

Datuk Jamal Abdillah (tengah) bersama 'orang kuat' Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura

KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Sudah menjayakan ribuan persembahan berskala besar dan kecil sejak lebih 40 tahun bergelar penghibur bukan alasan untuk Datuk Jamal Abdillah berhenti beraksi di atas panggung.

Sebaliknya setiap pengalaman yang diperoleh lewat semua persembahan yang pernah dipersembahkan sentiasa diambil lalu disatukan untuk sebuah lagi pertunjukan yang penuh bertenaga dan semakin matang.

Maka bukan satu ‘dosa’ apabila penghibur berusia 65 tahun tersebut bakal muncul dengan Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura.

Konsert yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Februari 2025 dianjurkan bersama oleh Live Injection dan NJ Resources.

Ia akan menjadi konsert solo perdana Raja Pop Malaysia itu pada tahun 2025 sekali gus membuktikan kewujudannya dalam belantika muzik masih relevan dan sentiasa dilihat mampu menawan hati peminat.

“Selaku penganjur kami di Live Injection dan NJ Resources sentiasa melihat kualiti dan jenama seorang penghibur bersuara emas iaitu Datuk Jamal Abdillah tidak akan pernah pudar selagi beliau berada dalam industri seni tempatan.

“Kami percaya dengan semua pengalaman, pesona dan untaian lagu hit yang telah dirakamkan Jamal Abdillah sejak awal pembabitan sehingga kini, penganjuran konsert tersebut akan menjadi sebuah pertemuan penuh nostalgia buat peminat.

“Sementelah ini adalah pertama kali Jamal Abdillah beraksi di panggung Zepp Kuala Lumpur secara solo dan suasana yang lebih intim ini akan mencipta momen tersendiri buat penghibur kesayangan ramai ini dan peminatnya,” ujar Edy J dari Live Injection.

Bagi Jamal Abdillah meski sudah ribuan kali membuat persembahan, bukan bermaksud beliau boleh sambil lewa dan berasa tanggungjawab yang diberikan penganjur sesuatu yang ‘ringan’ hanya kerana telah memiliki segudang pengalaman.

Perasaan berdebar akan selalu hadir namun ia ‘dibunuh’ dengan keterujaan yang besar buat Jamal Abdillah menyambut kehadiran peminat yang selama ini menjadi tulang belakang perjalanan kariernya sejak berabad lama.

Konsert itu kelak akan dihiasi dengan lagu-lagu nostalgia yang hit dan ‘sing along’ seperti Penghujung Rindu, Gadis Melayu, Kekasih Awal Dan Akhir, Sepi Seorang Perindu serta Di Sudut Kamar Hatiku.

“Memang konsert ini akan menjadi siri persembahan skala besar dari saya sekali lagi sebagai penghibur namun peminat akan melihat dan menikmati rendisi lagu bersifat nostalgia yang disampaikan dalam suasana baharu.

“Harapan saya peminat yang tahu mengenai penganjuran Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura di Zepp Kuala Lumpur, 15 Februari 2025 datang beramai-ramai ke konsert ini.

“Kenapa kena hadir? Kerana ia akan menjadi sebuah kenangan terbaik yang akan diberi lalu dinikmati bersama-sama pada awal tahun 2025 nanti,” ujar Jamal Abdillah.

Untuk mengetahui keunikan dan kelainan yang bakal ditonjolkan pada Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura, peminat boleh membeli tiket pada kategori berbeza bermula harga RM360 (CAT 04), RM380 (CAT 03), RM340 (CAT 2), RM395 (CAT 1), RM7,500 (VIP BOX- 8 orang).

Pembelian boleh dibuat melalui atas talian menerusi TICKET2U.COM. Maklumat lanjut, sila layari www.live-injection.com atau email Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE