GENTING HIGHLANDS, 14 September - Anugerah Industri Muzik (AIM) bukan sekadar acara anugerah, malah mencerminkan perjalanan dan perkembangan muzik tanah air sejak 1993.
Majlis anugerah edisi ke-24 yang berlangsung di Arena of Stars, di sini, semalam kembali meraikan penggiat seni dalam dan luar negara.
Ia menjadi platform penting untuk melahirkan bintang baharu, mengekalkan legasi artis berkualiti serta mendorong penggiat seni untuk terus berkarya dengan kualiti setaraf antarabangsa.
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim menyifatkan penganjuran tahun ini menyaksikan lebih banyak kolaborasi dengan artis tempatan dan luar negara.
"Muzik sekarang ini semakin tidak ada sempadan dan ia akan terus berlanjutan. Antara perkara baik dilakukan karyawan adalah membuat lagu pelbagai bahasa untuk menembusi pasaran lebih besar di peringkat antarabangsa," katanya.
Bagi Ketua Juri AIM24, Datuk Mokhzani Ismail, anugerah berkenaan membuka ruang kepada komposer serta penggiat seni untuk terus berkarya menerusi pengiktirafan diberikan.
Sementara itu, pemenang anugerah susunan muzik terbaik dalam lagu, Aubrey Suwito berpandangan AIM24 lebih gemilang berbanding edisi terdahulu.
"Saya kagum dengan penglibatan legenda-legenda muzik terkemuka dan barisan pelapis yang sangat dahsyat," kata Aubrey.
Kira-kira 4,000 penonton hadir menyaksikan majlis berprestij anjuran RIM di Arena of Stars itu, yang turut disiarkan secara langsung di TV2.