
KINSHASA, 20 Mei– Penularan wabak Ebola yang semakin merebak di beberapa wilayah di Republik Demokratik Congo (DRC) minggu ini, mendesak penduduk mula memakai pelitup muka selain menuntut perlindungan yang lebih ketat dilaksanakan.
- 26 lagi kematian disyaki akibat Ebola direkodkan dalam 24 jam di timur DRC.
- Jumlah korban meningkat kepada 131 orang dan dua kes disahkan direkodkan di Uganda.
- WHO mengisytiharkan strain Bundibugyo sebagai Darurat Kesihatan Awam yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa.
- Tiada vaksin diluluskan untuk strain Bundibugyo, meningkatkan kebimbangan orang ramai dan tuntutan agar vaksin dihantar segera.
Pihak berkuasa tempatan pada Selasa (19 Mei) memaklumkan, sebanyak 26 lagi kematian baharu yang disyaki akibat Ebola telah direkodkan dalam tempoh 24 jam di timur DRC.
Peningkatan mendadak itu menjadikan jumlah keseluruhan angka korban meningkat kepada 131 orang manakala dua kes pengesahan dikesan di negara jiran, Uganda.
Susulan situasi kritikal itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus telah mengisytiharkan penularan varian nadir virus tersebut iaitu strain Bundibugyo, sebagai Darurat Kesihatan Awam yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).
su tersebut bertambah parah kerana strain Bundibugyo setakat ini, masih belum mempunyai sebarang vaksin yang diluluskan.
Faktor ketiadaan vaksin meningkatkan lagi kerisauan dalam kalangan penduduk di bandar Bukavu dan ibu negara, Kinshasa, dengan impak penularan wabak Ebola terdahulu mengorbankan ribuan nyawa di timur Congo.
“Saya hanya meminta agar kita menjaga kebersihan di mana-mana sahaja kita berada bagi mengelakkan penyakit ini kerana ia membunuh ramai orang. Kita mungkin akan melihat kematian yang ramai lagi seperti semasa zaman coronavirus dahulu,” kata Marie Evuto, seorang penjaja jalanan di Kinshasa.
Bagi seorang penunggang motosikal teksi dari Bukavu, Delphin Luwa, beliau mendesak Presiden DRC untuk segera mencari jalan penyelesaian konkrit.
“Jika anda membiarkan virus ini kembali dan mengorbankan nyawa rakyat sekali lagi, ia akan menjadi sesuatu yang amat mengerikan. Kami meminta anda menghantar vaksin demi menyelamatkan nyawa,” katanya.
Sementara itu, penularan wabak tersebut mula menjejaskan pergerakan rentas sempadan apabila pihak berkuasa Uganda mula menyekat laluan di Ishasha-Kyeshero.
Keadaan sama dilaporkan berlaku di bahagian selatan apabila rakyat Congo yang cuba merentasi sempadan ke Rwanda dari bandar Goma dan Bukavu turut ditahan oleh pihak berkuasa. -REUTERS