
LIMA, 20 Mei– Satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.1 telah menggegar kawasan pantai selatan Peru pada Selasa (19 Mei).
- Tiada kecederaan jiwa atau kerosakan harta dilaporkan setakat ini.
- Pusat gempa di wilayah Ica, 41 kilometer selatan bandar Ica; gegaran dirasai sederhana di Lima, kira-kira 400 kilometer.
- Peru terletak di Lingkaran Api Pasifik, menjadikannya antara negara paling aktif secara seismik; sekurang-kurangnya 100 gegaran dirasai setiap tahun.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan, setakat ini.
Menurut Institut Geofizik Peru, bencana tersebut berlaku di wilayah Ica pada pukul 12.57 tengah hari waktu tempatan.
Epicenter atau pusat gempa berkenaan dikesan berada pada kedudukan 41 kilometer ke selatan bandar Ica, malah gegaran tersebut turut dirasai pada tahap sederhana di ibu negara, Lima, yang terletak kira-kira 400 kilometer dari lokasi berkenaan.
“Saya merasai gegaran yang sangat kuat, lalu saya segera keluar ke jalan raya bersama isteri,” kata seorang penduduk Ica kepada stesen radio RPP.
Kedudukan Peru yang terletak di atas jajaran ‘Lingkaran Api Pasifik’ menjadikannya antara negara yang mempunyai aktiviti seismik (gempa bumi) paling aktif di dunia.
Negara Amerika Selatan itu merekodkan sekurang-kurangnya 100 kejadian gempa bumi yang dapat dirasai oleh penduduk pada setiap tahun. -AFP