Wabak Ebola : Africa CDC gesa AS tarik balik sekatan perjalanan 

Salah sebuah pusat rawatan Ebola di Republik Demokratik Congo / Foto fail AFP

ACCRA, 22 Julai – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) menggesa Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas Uganda susulan penularan wabak Ebola, sambil menegaskan larangan perjalanan bukan langkah berkesan untuk membendung penyebaran penyakit itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekatan perjalanan mengganggu penghantaran bekalan perubatan, pergerakan petugas kesihatan dan perdagangan rentas sempadan.
  • Tindakan berkesan: perkukuh pemantauan penyakit, jejak kontak rapat dan asingkan kes yang disahkan.
  • Wabak kini semakin serius dan boleh menjadi antara wabak Ebola paling buruk jika gagal dibendung segera.
  • Hanya sekitar 8,500 daripada hampir 97,000 kontak rapat dipantau, menunjukkan pemantauan masih belum mencukupi.

Ketua Pengarahnya, Dr. Jean Kaseya berkata, agensi itu tidak menyokong pelaksanaan sekatan perjalanan sebagai tindak balas terhadap wabak Ebola yang semakin memburuk di benua berkenaan.

Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak Kesihatan Kesatuan Afrika di Accra, beberapa hari selepas Washington memperketat sekatan perjalanan terhadap pengembara dari Republik Demokratik Congo (DRC), Uganda dan Sudan Selatan susulan penularan wabak yang bermula di DRC.

Kaseya berkata, pengalaman daripada wabak Ebola sebelum ini menunjukkan sekatan perjalanan boleh mengganggu penghantaran bekalan perubatan, pergerakan petugas kesihatan serta perdagangan rentas sempadan.

Sebaliknya, langkah yang lebih berkesan ialah memperkukuh pemantauan penyakit, mengesan kontak rapat dan mengasingkan kes yang disahkan.

Menurut Kaseya, beliau telah mengutus surat kepada Setiausaha Kesihatan AS, Robert F. Kennedy Jr., bagi memohon sekatan perjalanan terhadap Uganda ditarik balik.

“Uganda tidak merekodkan sebarang kes baharu Ebola sejak tiga minggu lalu, manakala pesakit terakhir dibenarkan keluar dari hospital pada 16 Julai.

Tiada alasan untuk AS meneruskan sekatan perjalanan terhadap Uganda. Negara yang bersikap telus dalam melaporkan penularan penyakit tidak sepatutnya dihukum,” katanya.

Walaupun menolak pelaksanaan sekatan perjalanan, Kaseya memberi amaran bahawa wabak Ebola kini semakin serius.

“Jika kita gagal membendung wabak ini sekarang, ia akan menjadi antara wabak Ebola paling buruk pernah direkodkan dunia,” katanya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 2,344 kes Ebola disahkan di DRC sejak wabak itu diisytiharkan pada pertengahan Mei, dengan 930 kematian direkodkan.

Uganda pula melaporkan 20 kes dan dua kematian, kebanyakannya membabitkan warga DRC yang menyeberangi sempadan.

Kaseya berkata, Africa CDC kini memerlukan dana sebanyak AS$1.4 bilion (kira-kira RM6.6 bilion) bagi membendung wabak itu, hampir tiga kali ganda daripada anggaran awal AS$518 juta yang diumumkan bulan lalu.

Setakat ini, negara-negara Afrika hanya berikrar menyumbang kira-kira AS$110 juta.

Beliau berkata, pihak berkuasa kesihatan sepatutnya memantau hampir 97,000 individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pesakit Ebola, namun ketika ini hanya kira-kira 8,500 orang berjaya dipantau.

Kenyataan itu dibuat ketika menteri-menteri kesihatan dari seluruh Afrika menghadiri Sidang Kemuncak Kesihatan Kesatuan Afrika, yang dijangka meluluskan pelan tindakan pada Rabu bagi memperkukuh sistem kesihatan, meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi wabak serta mempercepat usaha menamatkan epidemik AIDS menjelang 2030. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.