Trump beri amaran kepada Iran jika rundingan nuklear gagal

Trump beri amaran kepada Iran sebelum rundingan nuklear.

WASHINGTON, 17 Februari – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi amaran kepada Iran mengenai akibat sekiranya gagal mencapai persetujuan menjelang rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan republik Islam itu di Geneva.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump mengugut Iran dengan akibat jika rundingan nuklear gagal mencapai persetujuan.
  • Rundingan di Geneva dimediasi Oman, dengan Amerika Syarikat turut menekankan isu peluru berpandu dan sokongan kumpulan bersenjata.
  • Kegagalan rundingan sebelum ini disusuli serangan Israel terhadap Iran yang mencetuskan perang 12 hari.

Trump berkata beliau akan terlibat secara tidak langsung dalam rundingan berkenaan ketika bercakap kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One dalam perjalanan ke Washington.

Menurutnya, Iran pasti tidak mahu berdepan akibat sekiranya gagal mencapai sebarang persetujuan.

Rundingan terbaharu yang dijadual berlangsung pada Selasa dan dimediasi Oman itu menyusuli ancaman berulang Trump untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Tehran, pada mulanya berhubung tindakan keras maut Iran terhadap protes antikerajaan dan kemudian berkaitan program nuklear negara itu.

Amerika Syarikat serta beberapa negara Eropah bimbang program berkenaan bertujuan menghasilkan senjata nuklear, namun dakwaan itu dinafikan Tehran.

Washington sebelum ini turut menekan supaya isu lain dibincangkan termasuk program peluru berpandu balistik Iran dan sokongan negara itu terhadap kumpulan bersenjata di Asia Barat.

Kementerian Luar Iran berkata pendirian AS mengenai isu nuklear Iran kini bergerak ke arah pendekatan yang lebih realistik.

Percubaan rundingan sebelum ini gagal apabila Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran yang mencetuskan perang selama 12 hari, sebelum Amerika AS turut menyertai serangan terhadap tapak nuklear Iran.-AFP