
WASHINGTON, 13 Jun – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa tentera Amerika Syarikat telah membunuh ketua kumpulan jenayah Venezuela, Hector Rusthenford Guerrero Flores atau Nino Guerrero dalam satu serangan ketenteraan.
- Trump kata operasi diselaraskan rapat dengan rakan Venezuela, namun beliau tidak memperincikan masa serangan.
- Kementerian Komunikasi Venezuela belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan itu.
- Pentadbiran Trump mengenakan sekatan ke atas Guerrero dan Tren de Aragua; Jabatan Negara isytihar kumpulan sebagai organisasi pengganas asing.
Trump menerusi hantaran di platform Truth Social, memaklumkan tentera AS melaksanakan serangan pantas dan membunuh bagi menghapuskan ketua kumpulan Tren de Aragua itu yang disifatkannya sebagai salah satu organisasi pengganas paling berbahaya di dunia.
Beliau berkata operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama pihak Venezuela, namun tidak memperincikan masa sebenar serangan.
“Tindakan ini diselaraskan rapat dengan rakan-rakan kami di Venezuela, yang mana kami bekerjasama dengan sangat baik.”, katanya.
Bagaimanapun, Kementerian Komunikasi Venezuela masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.
Pentadbiran Trump berulang kali mengenakan sekatan terhadap Guerrero dan ketua Tren de Aragua atas dakwaan terlibat dalam jenayah seperti penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram.
Jabatan Negara juga telah mengklasifikasikan Tren de Aragua sebagai organisasi pengganas asing, sekali gus membolehkan tindakan lebih keras diambil terhadap rangkaian kumpulan tersebut.
Trump sebelum ini juga mendakwa kumpulan itu mempunyai kaitan dengan kerajaan Venezuela pimpinan Nicolás Maduro, dan alasan itu digunakan untuk tindakan imigresen serta menghantar migran ke penjara di El Salvador.
White House, Pentagon serta tentera AS belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai operasi itu.-REUTERS