Singapura aktifkan subsidi rawatan penyakit berkaitan jerebu

Foto AFP

SINGAPURA, 12 Oktober – Singapura mengaktifkan skim subsidi rawatan perubatan berkaitan jerebu susulan kualiti udara tidak sihat akibat kebakaran hutan di Indonesia yang terus menyelubungi rantau Asia Tenggara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bayaran maksimum rawatan: kebanyakan rakyat layak membayar sehingga S$10; warga emas 67 tahun ke atas S$5.
  • Subsidi meliputi rinitis alergi, asma, bronkitis, konjunktivitis, COPD, jangkitan saluran pernafasan atas serta komplikasi berkaitan.
  • Kebakaran di Borneo dan Sumatera diburukkan El Nino, mencetuskan jerebu rentas sempadan, ribuan kes pernafasan, pembatalan penerbangan dan subsidi terakhir pada 2015.

Menerusi skim itu, kebanyakan rakyat Singapura yang layak hanya perlu membayar maksimum S$10 bagi rawatan berkaitan jerebu, manakala warga emas berusia 67 tahun ke atas dikenakan bayaran maksimum S$5.

Kementerian Kesihatan Singapura dalam kenyataan memaklumkan subsidi itu meliputi pelbagai masalah kesihatan termasuk rinitis alergi, asma, bronkitis, konjunktivitis, penyakit paru-paru obstruktif kronik, jangkitan saluran pernafasan atas serta komplikasi berkaitan.

Singapura kali terakhir mengaktifkan skim subsidi berkenaan pada 2015, ketika asap daripada kebakaran hutan di Indonesia menyelubungi Asia Tenggara selama beberapa minggu, sekali gus meningkatkan kes penyakit, selain menyebabkan penutupan sekolah dan pembatalan penerbangan.

Pada Isnin, Singapura sekali lagi menduduki tempat pertama sebagai bandar paling tercemar di dunia, menurut pemantau kualiti udara berpangkalan di Switzerland, IQAir.

Kebakaran di pulau Borneo dan Sumatera terus melepaskan jerebu toksik, dengan keadaan diburukkan fenomena El Nino yang semakin kuat.

Kebakaran itu menyebabkan jerebu teruk di kawasan terjejas, dengan puluhan ribu kes penyakit berkaitan pernafasan dilaporkan.

Indonesia lazimnya berdepan kebakaran hutan ketika musim kering, namun kebakaran tahun ini semakin buruk akibat fenomena El Nino yang dijangka menjadi antara paling kuat sejak rekod perbandingan bermula kira-kira empat dekad lalu.

Pakar turut mengaitkan keadaan itu dengan amalan pembukaan tanah menggunakan kaedah tebang dan bakar yang mengubah landskap semula jadi yang sebelum ini lebih tahan terhadap kebakaran.

Jerebu rentas sempadan itu turut menjejaskan perjalanan udara apabila syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia, Firefly, membatalkan penerbangan antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah berhampiran Kuala Lumpur dengan Lapangan Terbang Seletar di Singapura dari Sabtu hingga Isnin sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.