China sekat dua menteri asing susulan hubungan dengan Taiwan

Foto AFP

BEIJING, 12 Oktober – China mengumumkan sekatan terhadap menteri dari Paraguay dan Belize susulan hubungan diplomatik kedua-dua negara itu dengan Taiwan, pulau yang dituntut Beijing sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekatan termasuk pembekuan hartanah dan aset di China, penolakan visa, serta larangan organisasi China menjalankan urusan dengan mereka.
  • Gustavo Villate menzahirkan sokongan kepada Taiwan, menekankan persahabatan, kerjasama dan nilai seperti hak menentukan nasib sendiri serta demokrasi.
  • Presiden Paraguay melawat Taipei, memeterai perjanjian keselamatan siber, bantuan perundangan jenayah dan pelaburan dalam kecerdasan buatan.

Kementerian Luar China dalam kenyataan memaklumkan sekatan tersebut dikenakan terhadap Menteri Komunikasi Paraguay, Gustavo Villate dan Menteri Luar Belize, Francis Fonseca.

Ia termasuk pembekuan hartanah serta aset mereka di China, penolakan visa dan larangan terhadap organisasi di negara itu daripada menjalankan urusan perniagaan dengan mereka.

Tindakan itu diambil dua hari selepas Taiwan menyambut Hari Kebangsaannya.

Villate menerusi media sosial turut menzahirkan sokongan Paraguay terhadap Taiwan dengan menyatakan negaranya mengukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama berdasarkan nilai serta prinsip bersama, termasuk hak menentukan nasib sendiri, hak asasi manusia dan demokrasi.

Taiwan kini hanya mempunyai 12 sekutu diplomatik rasmi selepas China berusaha mendapatkan sokongan negara-negara yang sebelum ini menjalin hubungan dengan Taipei, dalam usaha mengasingkan pulau itu di peringkat antarabangsa.

Beijing berikrar untuk mengambil alih Taiwan, termasuk menggunakan kekerasan jika perlu.

Presiden Paraguay, Santiago Pena, yang menyifatkan Taiwan sebagai rakan kongsi asas negaranya, melawat Taipei awal tahun ini dan memeterai beberapa perjanjian.

Pejanjian itu melibatkan bantuan perundangan bersama dalam kes jenayah, kerjasama keselamatan siber serta pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran.

Bulan lalu, Menteri Luar Taiwan, Lin Chia-lung turut melawat Belize, dengan kementeriannya memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh hubungan dua hala.

Sekutu diplomatik Taiwan yang lain di benua Amerika ialah Guatemala dan Haiti, selain beberapa negara kepulauan di Caribbean. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.