
KUALA LUMPUR, 25 November – Cadangan menamakan sebuah jalan di ibu negara sempena Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri Dr A. Samad Said akan diteliti sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan besar beliau dalam dunia kesusasteraan tanah air.
- Cadangan menamakan jalan dikemukakan tokoh kewartawanan, Datuk Abdul Kadir Jasin.
- Galeri khas dicadangkan bagi menghimpunkan perjalanan hidup, hasil penulisan dan karya agung Allahyarham.
- Karya Allahyarham wajar diperkenalkan semula kepada generasi muda, selain keluarga meneliti aspek hak cipta dan pemeliharaan penulisannya.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, cadangan berkenaan dikemukakan tokoh kewartawanan, Datuk Abdul Kadir Jasin.
Selain penamaan jalan, beliau turut melihat kewajaran mewujudkan sebuah galeri khas yang menghimpunkan perjalanan hidup, hasil penulisan serta karya agung tokoh berkenaan.
“Lebih penting dari itu, karya-karya agung Allahyarham saya rasa wajar untuk kita lihat bagaimana boleh dipopularkan semula walaupun masih popular, malar, tapi perlu diperkenal kepada generasi muda.
“Malam tadi saya ada bercakap dengan saudara Az, anak Allahyarham, mengenai keperluan untuk pihak keluarga meneliti mungkin dari aspek-aspek hak cipta dan mengekalkan penulisan-penulisan Allahyarham,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, di sini.
Sementara itu, Datuk Abdul Kadir menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh yang mempunyai kehalusan pemikiran dan keperibadian sederhana.
“Allahyarham mencerminkan, memanifestasikan perasaan yang lebih halus, yang lebih istimewa, yang lebih mendalam.
“Itulah ingatan saya terhadap Allahyarham dan Allahyarham adalah seorang insan yang sangat sederhana.
“Orang kalau bertapak tidak tinggal tapaknya tapi dia meninggalkan khazanah sastera yang sangat besar,” katanya.
Allahyarham yang merupakan Sasterawan Negara keempat meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 24 November.
Antara karya terkenal beliau termasuk Salina, Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan Hujan Pagi.