
MOSCOW, 24 Jun – Serangan tentera Ukraine ke atas Crimea telah mencetuskan gangguan bekalan elektrik secara besar-besaran di bandar terbesar wilayah itu, Sevastopol.
- Wilayah Crimea menggantung penjualan bahan api kepada orang awam akibat sekatan dan serangan terhadap depot dan kilang penapisan.
- Gabenor Sevastopol menggesa hadkan penggunaan telefon mudah alih dan menuduh musuh menyerang secara khianat untuk mencetuskan panik.
- Serangan dron mengorbankan dua orang awam di Nizhny Novgorod dan seorang di Belgorod; Ukraine lapor wanita maut di Kharkiv.
- Kementerian Pertahanan Rusia kata sistem pertahanan udara memusnahkan lebih 300 dron; Kiev kata 95 daripada 101 dron Rusia dipintas.
Laporan tersebut disahkan kedua-dua pihak hari ini.
Kesan daripada sekatan dan serangan terbabit, wilayah Crimea kini terpaksa menggantung penjualan bahan api kepada orang awam.
Langkah tersebut terpaksa diambil selepas tentera Ukraine secara agresif menyasarkan depot penyimpanan serta rantaian kilang penapisan minyak di seluruh selatan Rusia yang menjadi sumber bekalan utama mereka.
Gabenor Sevastopol yang dilantik Moscow, Mikhail Razvozhayev, menggesa penduduk mengehadkan penggunaan telefon mudah alih bagi mengelak kesesakan rangkaian.
“Musuh sekali lagi menyerang secara khianat, cuba merampas kemudahan hidup normal kita dan mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat,” kata Razvozhayev dalam satu kenyataan.
Beliau menambah beberapa kawasan di bandar tersebut kini berdepan suhu mencecah 30 darjah selsius dijangka akan bergelap tanpa bekalan elektrik sehingga sekurang-kurangnya lewat petang Rabu.
Pertempuran udara menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAV) ini turut mengorbankan beberapa nyawa di kedua-dua sempadan.
Pihak berkuasa tempatan melaporkan serangan dron berasingan oleh Ukraine telah mengorbankan dua orang awam di wilayah Nizhny Novgorod, Rusia.
Manakala seorang lagi maut di wilayah sempadan Belgorod.
Sementara itu, Ukraine melaporkan serangan dron tentera Rusia telah meragut nyawa seorang wanita berusia 56 tahun di wilayah sempadan Kharkiv.
Kementerian Pertahanan Rusia mendedahkan bahawa sistem pertahanan udara mereka berjaya memusnahkan lebih daripada 300 dron milik Ukraine sepanjang malam tadi.
Dalam perkembangan sama, Tentera Udara Kiev pula menyatakan bahawa Moscow telah melancarkan 101 dron ke ruang udara Ukraine semalaman dengan 95 daripadanya berjaya dipintas dan dimusnahkan.- AFP