Selesema burung H5: Australia kawal ketat penularan

Foto Hiasan

SYDNEY, 24 Jun – Susulan penularan selesema burung H5, salah sebuah syarikat pengeluar unggas terbesar di Australia telah memperketat kawalan di ladang ternakan di Australia Barat demi memastikan premis mereka bebas daripada jangkitan penyakit tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saintis mengesan strain H5 yang sangat mudah berjangkit di negeri kedua Australia.
  • Kes lain dikesan pada burung laut berhijrah, ditemui beratus-ratus kilometer dari lokasi pertama.
  • Tiada bukti kematian besar-besaran; unggas komersial belum dijangkiti; risiko kepada manusia kekal rendah.
  • Penularan berpotensi ganggu industri; Papua New Guinea menggantung import telur dan daging ayam, kemudian ditarik balik dengan pengecualian.

Menteri Pertanian, Julie Collins berkata para saintis mengesan strain H5 yang sangat mudah berjangkit di negeri kedua di Australia.

“Kes H5 pertama di Australia disahkan berlaku di negeri Australia Barat minggu lalu. Kini, pegawai penguatkuasa memberi amaran mengenai satu lagi kes yang dikesan pada burung laut berhijrah yang ditemui beratus-ratus kilometer dari lokasi pertama iaitu di Australia Selatan,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti menunjukkan berlakunya kematian besar-besaran haiwan berkenaan.

Beliau menegaskan tiada jangkitan dikesan pada unggas komersial atau sistem pengeluaran pertanian negara, manakala risiko terhadap kesihatan manusia kekal rendah.

Meskipun risiko semasa dilaporkan rendah, pengesahan penularan H5 ini berpotensi menyebabkan gangguan besar kepada industri berkaitan.

“Perkara ini sememangnya membimbangkan. Bagaimanapun, memandangkan penularan H5 yang berlaku secara global, kehadiran burung berhijrah lain di lokasi berbeza di sepanjang pesisir pantai Australia bukanlah sesuatu yang mengejutkan,” kata Collins.

Kesan awal sektor perdagangan turut dirasai apabila negara jiran, Papua New Guinea, sempat menggantung seketika import telur dan daging ayam dari Australia.

Bagaimanapun, sekatan tersebut telah ditarik balik dengan beberapa pengecualian tertentu.

Sebelum ini, Australia merupakan satu-satunya benua yang bebas daripada strain H5 selama bertahun-tahun.

Strain berkenaan telah menyebabkan penyakit serius dan kadar kematian yang tinggi dalam kalangan unggas serta burung liar di seluruh dunia.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.