
GAZA, 21 Jun – Sekurang-kurangnya enam maut, termasuk empat sekeluarga, dalam serangan terbaharu tentera zionis di Semenanjung Gaza pada awal pagi Sabtu, untuk ke sekian kalinya mencabul gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa sejak Oktober lalu.
- Serangan udara Israel mengenai rumah berhampiran persimpangan Al-Tayaran membunuh Hussein dan Rana Safadi serta dua anak perempuan mereka, Zina 6 dan Lana 13.
- Seorang wanita Palestin maut akibat tembakan tentera Israel di bandar Beit Lahia, utara Gaza.
- Serangan dron di dekat bulatan Al-Saftawi membunuh seorang lelaki dan mencederakan seorang wanita.
- Kementerian Kesihatan Gaza lapor pelanggaran gencatan senjata: 1,007 rakyat Palestin maut dan 3,165 cedera.
Ia susulan serangan dron Israel ke atas sekumpulan penduduk di kawasan Al-Mawasi, barat Khan Younis di selatan Gaza.
Dalam kejadian berasingan, dua kanak-kanak bersama ibu bapa mereka terbunuh apabila serangan udara Israel mengenai kediaman mereka berhampiran persimpangan Al-Tayaran di Bandar Gaza, menurut sumber perubatan di Hospital Al-Shifa.
Saksi berkata, serangan yang berlaku ketika waktu subuh itu menyasarkan rumah keluarga Safadi, mengorbankan Hussein Safadi, isterinya Rana Safadi serta dua anak perempuan mereka, Zina, 6, dan Lana, 13.
Sementara itu, seorang wanita Palestin maut akibat tembakan tentera Israel di bandar Beit Lahia, utara Gaza.
Dalam satu lagi insiden, seorang lelaki Palestin terbunuh manakala seorang wanita cedera sederhana selepas serangan dron Israel menyasarkan pejalan kaki berhampiran bulatan Al-Saftawi di utara Bandar Gaza, menurut saksi.
Serangan-serangan itu berlaku ketika pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober 2025 terus dilaporkan.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sehingga Khamis lalu, pelanggaran gencatan senjata itu telah mengorbankan 1,007 rakyat Palestin dan mencederakan 3,165 yang lain.
Perjanjian gencatan senjata dimeterai selepas perang yang disifatkan pihak Palestin sebagai perang pembunuhan beramai-ramai selama dua tahun di Gaza.
Konflik tersebut mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin, mencederakan lebih 173,000 yang lain serta memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di wilayah berkenaan.