Samsung catat untung 20 trilion won, permintaan cip AI melonjak

Foto REUTERS

SEOUL, 29 Januari– Samsung Electronics pada Khamis melaporkan keuntungan kendalian suku keempat meningkat lebih tiga kali ganda ke tahap rekod tertinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keuntungan kendalian suku keempat melonjak ke paras rekod susulan permintaan cip AI yang meningkat.
  • Segmen cip mencatatkan lonjakan keuntungan 470 peratus disokong bekalan terhad dan kenaikan harga global.
  • Keuntungan perniagaan telefon pintar menyusut kerana tekanan kos pembuatan dan risiko tarif global.

Pencapaian itu didorong oleh permintaan melonjak terhadap cip kecerdasan buatan (AI), yang turut melonjakkan harga pasaran.

Prestasi tersebut mengukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai pengeluar cip memori utama dunia dengan keupayaan kawalan harga yang tinggi, sekali gus menyaksikan keuntungan dijangka terus bertambah sepanjang tahun ini.

Menerusi satu kenyataan, Samsung mengunjurkan ledakan teknologi AI akan terus mewujudkan persekitaran pasaran yang positif bagi industri berkenaan menjelang suku pertama 2026.

Bagi tempoh Oktober hingga Disember, syarikat gergasi Korea Selatan itu mencatatkan keuntungan kendalian sebanyak 20 trilion won (AS$13.98 bilion), meningkat berbanding 6.49 trilion won pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, hasil pendapatan syarikat turut melonjak 24 peratus kepada 93.8 trilion won bagi suku yang sama.

Segmen perniagaan cip yang menjadi nadi pendapatan syarikat mencatatkan lonjakan keuntungan kendalian sebanyak 470 peratus kepada 16.4 trilion won, hasil daripada bekalan yang terhad dan kenaikan harga global.

Bagaimanapun, keuntungan perniagaan telefon pintar menyusut kepada 1.9 trilion won berikutan tekanan kos pembuatan yang meningkat, selain risiko berterusan daripada isu tarif global yang mula memberi kesan kepada operasi. -REUTERS