Risiko global hantavirus rendah, tidak seperti COVID-19 – WHO

(Kiri) Petugas kesihatan memindahkan salah seorang pesakit disyaki hantavirus dari sebuah kapal di Praia, Cape Verde sebelum dibawa ke Belanda untuk rawatan. (Kanan) Tedros Adhanom Ghebreyesus/ Reuters

MADRID, 7 Mei- Risiko penularan hantavirus kekal rendah dan tidak setanding pandemik COVID-19, kata Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, susulan kebimbangan antarabangsa berhubung kes jangkitan di sebuah kapal persiaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Virus pada kapal dikenal pasti sebagai Andes virus, satu-satunya strain hantavirus yang boleh menular antara manusia.
  • Tempoh inkubasi satu hingga enam minggu menunjukkan jangkitan kemungkinan berlaku sebelum pelayaran.
  • Tiga kematian dilaporkan antara penumpang dan kru, dengan beberapa pesakit dipindahkan ke negara Eropah untuk rawatan.
  • Seorang penumpang mendakwa pihak kapal pada awalnya tidak menganggap serius kemungkinan penyakit berjangkit.

Beliau berkata keadaan semasa masih terkawal dan tidak menunjukkan potensi penularan meluas kepada masyarakat global.

“Risiko kepada dunia secara keseluruhan adalah rendah,” katanya.

WHO memaklumkan wabak yang dikesan di atas kapal berkenaan tidak menunjukkan ciri penularan seperti COVID-19, walaupun pemantauan rapi terus dijalankan.

Pakar mengesahkan virus yang dikesan ialah ‘Andes’ virus, satu-satunya strain hantavirus yang boleh menular antara manusia.

Kapal persiaran MV Hondius dijadual tiba di pulau Tenerife, Sepanyol dalam tempoh tiga hari, dengan proses pemindahan penumpang bermula pada 11 Mei.

Kapal itu sebelum ini mencetuskan kebimbangan selepas tiga kematian dilaporkan akibat jangkitan hantavirus dalam kalangan penumpang dan kru.

Pakar WHO, Anais Legand berkata kes pertama di atas kapal tidak mungkin berlaku semasa pelayaran kerana tempoh inkubasi virus antara satu hingga enam minggu, sekali gus menunjukkan jangkitan berlaku lebih awal sebelum pelayaran.

Seorang penumpang, Ruhi Cenet, berkata pihak kapal pada awalnya tidak menyedari tahap serius penularan wabak berkenaan.

“Mereka langsung tidak mempertimbangkan kemungkinan penyakit berjangkit seperti ini. Mereka tidak memandang serius masalah itu,” katanya.

Terdahulu, tiga individu termasuk dua kru kapal yang bergejala telah dipindahkan dari kapal itu di Cape Verde sebelum dibawa ke beberapa negara Eropah termasuk Belanda dan Jerman untuk menerima rawatan. -AFP