Ratusan penerbangan di UK dibatalkan akibat gangguan teknikal berterusan

Lapangan Terbang Heathrow penuh sesak dengan penumpang selepas gangguan teknikal besar-besaran mengganggu jadual penerbangan di United Kingdom – Foto AFP

LONDON, 9 September – Pengembara United Kingdom (UK) berdepan kesulitan berterusan apabila lebih 150 penerbangan dibatalkan di seluruh negara, ketika perkhidmatan kawalan trafik udara Britain berusaha memulihkan operasi akibat gangguan teknikal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebilangan besar pembatalan melibatkan Lapangan Terbang Heathrow, menurut data penjejakan penerbangan.
  • Perkhidmatan Trafik Udara Kebangsaan (NATS) masih menangani masalah sistem; pemulihan kompleks dan memerlukan masa.
  • Heathrow sambung operasi berlepas tetapi amaran gangguan berterusan; penumpang dinasihat periksa status dengan syarikat penerbangan.
  • Insiden berulang termasuk gangguan Julai lalu dan kegagalan besar 2023 menjejaskan lebih 700,000 penumpang.

Menurut laman penjejakan penerbangan FlightRadar24, sebanyak 177 penerbangan yang dijadualkan pada Rabu telah dibatalkan, selepas kira-kira 1,300 penerbangan dari dan ke lapangan terbang UK dibatalkan pada Selasa.

FlightRadar24 menerusi hantaran di X memaklumkan, hampir semua penerbangan yang dibatalkan pada Rabu melibatkan Lapangan Terbang Heathrow di London.

Perkhidmatan Trafik Udara Kebangsaan (NATS) pada lewat Selasa memaklumkan pihaknya masih berusaha menangani gangguan kawalan trafik susulan ‘masalah sistem’.

“Usaha sedang diteruskan bagi membantu syarikat penerbangan dan lapangan terbang memulihkan operasi susulan gangguan hari ini.

“Proses pemulihan itu amat kompleks dan menjejaskan keseluruhan rangkaian penerbangan, sekali gus memerlukan masa untuk kembali beroperasi seperti biasa, ” menurut NATS menerusi hantaran di X.

Sementara itu, Lapangan Terbang Heathrow pada lewat Selasa memberitahu, operasi penerbangan berlepas telah disambung semula selepas masalah teknikal memaksa ketibaan penerbangan digantung pada hari berkenaan.

Bagaimanapun, Heathrow memberi amaran bahawa gangguan dijangka berterusan, selain menasihatkan penumpang supaya menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum ke lapangan terbang.

NATS sebelum itu memaklumkan masalah sistem yang mencetuskan gangguan berkenaan telah diselesaikan dan pihaknya sedang berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan penerbangan yang tertangguh.

“Kami memahami perkara ini amat mengecewakan dan memohon maaf sepenuhnya,” menurut NATS menerusi hantaran di X.

Pada Julai tahun lepas, gangguan teknikal turut menyebabkan banyak penerbangan dari dan ke UK dibatalkan, sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengurusan syarikat penerbangan.

Britain turut berdepan kegagalan sistem penerbangan terburuk dalam tempoh beberapa tahun pada 2023, apabila lebih 700,000 penumpang terjejas susulan ratusan penerbangan ditangguhkan atau dibatalkan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.