
ISTANBUL, 24 Mei – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad berkata rundingan dengan Iran berjalan secara “teratur dan membina” serta menegaskan sekatan akan kekal dilaksanakan sehingga perjanjian akhir dicapai.
- Sekatan akan kekal sepenuhnya sehingga perjanjian dicapai, disahkan dan ditandatangani.
- Rundingan dengan Iran berjalan secara teratur dan membina; mesti teliti, tiada ruang untuk kesilapan.
- Hubungan AS-Iran kini lebih profesional dan produktif, tetapi Tehran tidak boleh memperoleh senjata nuklear.
- Trump kecam perjanjian nuklear 2015 sebagai lemah, dan harap perkuat penglibatan Asia Barat serta perluas Perjanjian Abraham.
“Sekatan akan terus berkuat kuasa sepenuhnya sehingga satu perjanjian dicapai, disahkan dan ditandatangani. Kedua-dua pihak perlu mengambil masa secukupnya dan memastikan ia dilakukan dengan betul. Tiada ruang untuk kesilapan!” kata Trump dalam hantaran di platform media sosialnya, Truth Social.
Beliau turut berkata hubungan AS-Iran menjadi “lebih profesional dan produktif”, namun memberi amaran bahawa Tehran tidak boleh membangunkan atau memperoleh senjata nuklear.
Presiden Trump juga mengucapkan terima kasih kepada negara Asia Barat atas “sokongan dan kerjasama” mereka, sambil berkata penglibatan itu akan diperkukuh menerusi penyertaan lebih luas dalam Perjanjian Abraham, selain mencadangkan Iran suatu hari nanti boleh menyertai rangka kerja itu.
Beliau mengkritik perjanjian nuklear Iran 2015 dengan menyifatkannya sebagai “satu daripada perjanjian paling buruk pernah dibuat” dan sekali lagi menyalahkan pentadbiran bekas Presiden Barack Obama atas apa yang disifatkannya sebagai perjanjian lemah yang membuka laluan kepada pembangunan senjata nuklear.
Presiden Trump berkata rundingan semasa dengan Iran adalah “jauh lebih baik” dan sebahagian daripada pendekatan lebih berkesan, sambil menegaskan proses yang sedang berlangsung itu akan menghalang Tehran daripada memperoleh senjata nuklear./BERNAMA