Belanjawan 2027: Bantuan khas ringankan beban pemandu kereta sewa di Kelantan

Foto RTM

KOTA BHARU, 14 Oktober – Pengagihan Bantuan Khas kewangan sebanyak RM1,000 secara sekali bayar atau ‘one-off’ yang bermula hari ini (14 Oktober) disambut baik oleh pemandu teksi dan kereta sewa di Kelantan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan khas kewangan meringankan beban pemandu untuk kos penyelenggaraan, insurans, cukai jalan dan keperluan harian.
  • Pemandu dan pengusaha menghargai sokongan kerajaan, melihatnya sebagai bukti tidak meminggirkan komuniti kereta sewa.
  • Bantuan membolehkan pembaikan kenderaan dan pemeriksaan di PUSPAKOM supaya teksi dan kereta sewa boleh beroperasi semula.
  • Penyaluran dilaksanakan secara berperingkat melalui serahan tangan dan pembayaran dalam talian, diumum dalam Belanjawan 2027.

Timbalan pengerusi Persatuan Pemandu dan Pemilik Teksi Kereta Sewa Terminal Bas Tesco Kelantan, Mohamed Abdullah berkata, bantuan berkenaan mampu meringankan beban kewangan pemandu terutama bagi menampung kos penyelenggaraan kenderaan, pembayaran insurans dan cukai jalan serta membeli keperluan harian.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan kerana sudi membantu pemandu kereta sewa di Kelantan, khususnya mereka yang beroperasi di sekitar Tesco yang selama ini berdepan dengan pelbagai kekangan serta keadaan yang serba daif.

“Bantuan ini amat bermakna kepada kami, khususnya para pemandu teksi dan pengusaha kereta sewa, kerana sedikit sebanyak dapat membantu kami membaiki serta menyelenggara kenderaan agar lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Stesen Bas Lembah Sireh, di sini.

Sementara itu, bagi pemandu kereta sewa, bantuan kewangan berkenaan bukan sekadar menambah pendapatan, malah dapat mengurangkan tekanan perbelanjaan harian ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.

Bagi pemandu kereta sewa Mohd Shahlan Che Yan dan Mohamed Shadi Mohd Nor, bantuan itu juga bukti bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan komuniti
pemandu kereta sewa seluruh negara.

“Semua urusan boleh dilakukan, termasuk menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM. Kereta sewa ini sudah lama digunakan dan perlu dibaiki supaya dapat digunakan semula bagi membantu menampung kos sara hidup,” kata Mohd Shahlan.

“Saya menyambut baik bantuan ini kerana sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kewangan dan membantu memulihkan keadaan secara beransur-ansur. Selain itu, bantuan ini juga membolehkan kami membaiki teksi untuk meneruskan kehidupan dan menampung keperluan harian buat sementara waktu,” kata Mohamed Shadi.

Dalam pembentangan Belanjawan 2027 Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan bantuan kewangan secara sekali bayar sebanyak RM1,000, dengan penyaluran dilaksanakan secara berperingkat melalui serahan tangan dan pembayaran dalam talian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.