
TEHRAN, 7 Jun – Perang Amerika Syarikat (AS) dengan Israel terhadap Iran memasuki hari ke-100 pada Ahad, dengan usaha damai masih belum menunjukkan kemajuan ketara.
- Serangan AS dan Israel pada 28 Februari menyasarkan Tehran, Isfahan dan Karaj serta mengorbankan Pemimpin Tertinggi Ali Khamenei dan pegawai kanan.
- IRGC membalas dengan peluru berpandu dan dron ke pangkalan AS di Asia Barat dan Israel, menyebabkan konflik merebak ke lebih 10 negara.
- Gencatan senjata sementara 8 April dan rundingan di Pakistan tidak capai penyelesaian; perbincangan termasuk program nuklear, sekatan, aset dan Selat Hormuz.
Konflik itu bermula pada 28 Februari lalu apabila AS bersama sekutu kuatnya Israel melancar serangan ketenteraan bersepadu ke atas Iran, dengan menyasarkan beberapa lokasi termasuk Tehran, Isfahan dan Karaj.
Serangan itu mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu, Ali Khamenei serta beberapa pegawai kanan negara berkenaan.
Sebagai tindak balas, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melancar serangan peluru berpandu dan dron ke atas pangkalan tentera AS di Asia Barat serta Israel.
Konflik berkenaan kemudian merebak ke lebih 10 negara di rantau itu, dengan serangan balas terus dilancar secara berulang oleh pihak terlibat.
Selepas lebih sebulan pertempuran sengit, AS dan Iran mengumumkan gencatan senjata sementara pada 8 April.
Kedua-dua pihak kemudian mengadakan pusingan pertama rundingan di Pakistan pada 11 dan 12 April, namun tiada kemajuan besar dicapai.
Rundingan susulan turut membincangkan beberapa isu utama termasuk program nuklear Iran, penarikan balik sekatan, pembekuan aset Iran serta pembukaan semula Selat Hormuz.
Namun sehingga kini, tiada perjanjian damai dimeterai.
Selat Hormuz turut menjadi antara titik utama pertikaian selepas IRGC pada 28 Februari lalu mengumumkan larangan terhadap kapal melalui laluan strategik itu.
Pada 30 Mei, Iran mengisytiharkan pengurusan operasi dan pentadbiran penuh terhadap perkapalan di selat tersebut.
Ini termasuk mewajibkan kapal komersial dan kapal tangki minyak menggunakan laluan ditetapkan serta mendapatkan kebenaran awal daripada Tentera Laut IRGC.
Pemerintahan Pusat AS pada 13 April pula mengumumkan sekatan terhadap semua trafik maritim yang memasuki atau keluar dari pelabuhan Iran.
Ketegangan turut merebak ke Lubnan selepas Hezbollah pada 2 Mac mengesahkan serangan terhadap Israel susulan serangan AS-Israel ke atas Iran.
Tentera Israel kemudian melancar serangan udara dan operasi darat di Lubnan sebelum Beirut dan Tel Aviv, melalui pengantaraan Washington, mengumumkan gencatan senjata sementara pada 17 April.
Bagaimanapun, operasi ketenteraan Israel di Lubnan masih berterusan. – REUTERS