PBB tuntut Israel segera bebaskan aktivis GSF Gaza

Foto AFP

GENEVA, 6 Mei – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu menggesa Israel untuk segera membebaskan dua aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua aktivis GSF, Saif Abu Keshek (Sepanyol) dan Thiago Avila (Brazil), ditahan di penjara Ashkelon selepas dipintas di perairan antarabangsa.
  • Wakil mendakwa mereka didera; kedua-duanya melancarkan mogok lapar sejak enam hari lalu.
  • Panggilan untuk siasatan, pertanggungjawaban, pengakhiran penahanan sewenang-wenangnya dan pengakhiran sekatan agar bantuan kemanusiaan sampai mencukupi.

Warga Sepanyol, Saif Abu Keshek dan warga Brazil Thiago Avila yang ditahan di penjara di Ashkelon adalah antara berpuluh-puluh aktivis misi kemanusiaan ke Gaza yang dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa di luar pantai Greece pada Khamis lalu.

“Israel mesti segera dan tanpa syarat membebaskan anggota GSF 2.0 Saif Abu Keshek dan Thiago Avila yang ditahan di perairan antarabangsa dan dibawa ke Israel di mana mereka terus ditahan tanpa tuduhan,” kata jurucakap pejabat hak PBB, Thameen Al-Kheetan dalam satu kenyataan.

“Ia bukan satu jenayah kerana menunjukkan solidariti dan membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza yang sangat memerlukannya,” tegasnya.

Kapal itu berlayar dari Perancis, Sepanyol dan Itali dengan tujuan untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dan menyampaikan bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin yang dilanda peperangan.

Wakil Avila dan Abu Keshek menuduh pihak berkuasa Israel mendera kedua-dua lelaki itu telah melancarkan mogok lapar sejak enam hari lalu.

Kheetan mengecam penganiayaan teruk termasuk menggesa siasatan sambil menegaskan pihak yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan.

“Kami menyeru agar penamatan penahanan sewenang-wenangnya oleh Israel kerana tidak konsisten dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” tegasnya.

“Israel juga mesti menamatkan sekatannya ke atas Gaza dan membenarkan serta memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke jalur Palestin yang terkepung dalam jumlah yang mencukupi,” kata jurucakap itu.-AFP