AS tutup Konsulat Jeneral di Peshawar, Pakistan

Konsulat Jeneral AS di Karachi, Pakistan./Foto AFP

WASHINGTON, 6 Mei – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mengumumkan penutupan secara berperingkat Konsulat Jeneralnya di bandar Peshawar di barat laut Pakistan atas faktor keselamatan diplomat AS dan keperluan pengurusan sumber yang lebih cekap.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedutaan AS di Islamabad mengambil alih urusan bagi wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
  • Keutamaan dasar AS di Pakistan kekal teguh meskipun perubahan kehadiran fizikal.
  • AS mengekalkan tiga misi diplomatik: kedutaan Islamabad serta konsulat Karachi dan Lahore.
  • Penutupan dijangka menjimatkan US$7.5 juta setahun, manakala kos pelaksanaan sekitar US$3 juta.

“Keputusan ini mencerminkan komitmen kami terhadap keselamatan kakitangan diplomatik serta pengurusan sumber yang cekap,” menurut Jabatan Negara dalam satu kenyataan.

Jabatan itu turut memaklumkan bahawa Kedutaan AS di Islamabad akan mengambil alih urusan berkaitan wilayah Khyber Pakhtunkhwa di Pakistan.

“Walaupun kehadiran fizikal kami di Peshawar berubah, keutamaan dasar pentadbiran ini di Pakistan kekal teguh,” menurut jabatan itu.

Selepas penutupan konsulat di Peshawar, AS akan mengekalkan tiga misi diplomatik di negara itu iaitu kedutaan di Islamabad serta konsulat di Karachi dan Lahore.

Pada Mac, media melaporkan bahawa penutupan konsulat di Peshawar dijangka menjimatkan Washington sebanyak US$7.5 juta setiap tahun.

Bagaimanapun, proses penutupan itu sendiri dijangka menelan kos sebanyak US$3 juta. – BERNAMA