
HONG KONG, 29 Jun– Sebahagian besar pasaran saham Asia mencatatkan peningkatan pada Isnin.
- Harga minyak mentah melonjak selepas laporan persetujuan AS dan Iran menghentikan serangan ketenteraan, meningkatkan sentimen pasaran tenaga.
- Sentimen pelabur pulih namun berhati-hati selepas kejatuhan teruk minggu lalu akibat pergolakan geopolitik dan kebimbangan gelembung teknologi AI.
- Kerajaan Korea Selatan umum pelan intervensi hampir AS$1.2 trilion untuk pusat pembuatan cip dan data AI, mengurangkan kejatuhan indeks Kospi.
Manakala harga minyak mentah kembali melonjak susulan laporan persetujuan Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menghentikan siri serangan ketenteraan yang sebelum ini mengancam perjanjian damai kedua-dua negara.
Sentimen pelabur kembali pulih namun bersikap berhati-hati selepas pasaran global mengalami kejatuhan teruk minggu lalu akibat pergolakan geopolitik di Asia Barat dan kebimbangan terhadap risiko ‘gelembung teknologi’ yang dicetuskan oleh ledakan kecerdasan buatan (AI).
Di pasaran ekuiti, indeks utama di Tokyo, Hong Kong, Shanghai, Sydney, Singapura, Wellington, Taipei, Manila dan Bangkok ditutup dalam keadaan positif.
Bagaimanapun, pasaran Mumbai dan Jakarta mencatatkan kemerosotan.
Dalam pada itu, sektor teknologi terus menjadi tumpuan selepas mengalami kerugian besar minggu lalu.
Di Korea Selatan, saham gergasi cip global Samsung dan SK hynix meneruskan kemerosotan sekali gus menyebabkan indeks Kospi merosot.
Bagaimanapun, kejatuhan tersebut berjaya dikekang selepas kerajaan Korea Selatan mengumumkan pelan intervensi mega bernilai hampir AS$1.2 trilion untuk membina hub pembuatan cip baharu dan pusat data AI dalam tempoh beberapa tahun.
Melalui kerjasama awam-swasta yang dihadiri Presiden Lee Jae Myung itu, Samsung dan SK hynix akan membuat pelaburan melebihi AS$500 bilion.- AFP