Iran, Oman adakan pertemuan berhubung Selat Hormuz

Foto AFP

TEHRAN, 29 Jun – Iran mengumumkan telah mengadakan mesyuarat pertama dengan Oman bagi membincangkan pengurusan Selat Hormuz pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS mengesahkan rundingan teknikal dengan Iran akan diteruskan
  • Kedua pihak setuju mengendurkan ketegangan supaya kapal dagang boleh bergerak bebas
  • Iran menuntut semua kapal melalui koridor berhampiran pantainya; banyak kapal beralih arah ke pantai Oman
  • IRGC ancam perketat kawalan dan tindakan tegas; serangan CENTCOM serta balasan Iran meningkatkan ketegangan

Mesyuarat berkenaan diadakan susulan pemeteraian perjanjian awal dengan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan konflik di Asia Barat.

Pengumuman itu dibuat selepas AS mengesahkan persetujuan untuk menghentikan serangan susulan insiden berbalas tembakan yang menjejaskan pelan damai kedua-dua belah pihak yang kini dalam perancangan untuk menyambung semula rundingan selepas perang

“Sewaktu kunjungan ke Muscat, mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama Hormuz telah diadakan,” kata Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi menerusi hantaran di X.

“Selain menyemak isu semasa berkaitan selat itu, kami turut bertukar pandangan mengenai pengurusan masa hadapan”, tambah beliau menerusi hantaran berkenaan.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas pegawai AS memaklumkan agensi berita AFP bahawa rundingan teknikal dengan Iran akan diteruskan.

Beliau turut mengesahkan kedua-dua pihak bersetuju untuk mengendurkan ketegangan buat masa ini bagi membolehkan kapal dagang bergerak bebas.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas laporan media berhubung rundingan semula yang dijadualkan berlangsung di Qatar.

Terdahulu, Iran memberi amaran bahawa sebarang usaha kapal dagang untuk memintas laluan utama di selat itu akan meningkatkan ketegangan.

Mengikut undang-undang antarabangsa, Selat Hormuz merangkumi perairan wilayah Oman dan Iran, dan kedua-dua negara tidak boleh menghalang laluan atau mengenakan tol.

Kawalan ketat Tehran di selat itu sering mencetuskan pertempuran, termasuk serangan terbaharu oleh Komando Pusat AS (CENTCOM) ke atas 10 sasaran ketenteraan dengan alasan mempertahankan keselamatan kapal komersial.

Iran kemudian bertindak balas menyerang pangkalan AS di Kuwait dan Bahrain, yang menyebabkan tindakan berkenaan dikutuk sekeras-kerasnya oleh kedua-dua negara Teluk berkenaan.

Iran menegaskan semua kapal perlu melalui koridor berhampiran pantainya, meskipun puluhan kapal dikesan mula beralih arah menyusuri pantai Oman minggu ini bagi mengelak sekatan.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi memberi amaran bahawa sebarang aturan baharu yang membelakangi Iran hanya akan merumitkan keadaan serta melambatkan pembukaan semula selat tersebut.

Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) turut menegaskan mereka akan memperketat kawalan trafik perairan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kapal yang melanggar peraturan.

Sementara itu, Penasihat Pemimpin Tertinggi Iran, Mohammad Mokhber menyatakan bahawa penguasaan Iran di selat itu akan menyekat ‘impian hegemoni’ Washington di rantau berkenaan.

Pakar penganalisis dari Royal United Services Institute London, H.A. Hellyer berpendapat, taktik membiarkan rundingan berlarutan dan kawalan di Selat Hormuz memberikan kelebihan kepada Iran. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.