
KOTA BHARU, 29 Jun – Dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang dinaiki mereka terkena letupan bom berhampiran pembetung di Ban Phaiwan, Mukim Phaiwan, Daerah Tak Bai, Wilayah Narathiwat, Thailand, kira-kira pukul 11.41 pagi waktu tempatan hari ini.
- Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan laporan dan menasihatkan orang ramai menangguhkan perjalanan ke Thailand.
- Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, cedera dahi, kepala, tangan dan paha kiri; Muhammad Yusri Udin, 38, cedera lengan kanan dan jari kiri.
- Timbalan Gabenor Narathiwat menziarahi mangsa dan mengarahkan pihak berkaitan memastikan rawatan serta penjagaan sewajarnya.
- Pihak berkuasa mengawal lokasi, menutup laluan Sapom ke Kampung Saba Baharu untuk Unit Pemusnah Bom dan pasukan forensik; punca masih disiasat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sementara perjalanan ke Thailand susulan insiden berkenaan.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Narathiwat oleh pihak berkuasa Thailand untuk mendapatkan rawatan.
Menurut maklumat awal, mangsa dikenali sebagai Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45 tahun, yang mengalami kecederaan pada dahi, kepala dan tangan kiri, selain kecederaan pada paha kiri.
Manakala seorang lagi mangsa, Muhammad Yusri Udin, 38 tahun, dilaporkan cedera pada lengan kanan dan jari tangan kiri.
Difahamkan, kedua-dua mereka merupakan warganegara Malaysia yang berada di kawasan berkenaan untuk tujuan lawatan.
Sementara itu, menurut laporan media tempatan, Timbalan Gabenor Narathiwat, Chakrit Suranattakun telah menziarahi kedua-dua mangsa di hospital serta mengarahkan pihak berkaitan memastikan mereka menerima rawatan dan penjagaan yang sewajarnya.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa Thailand mengawal lokasi kejadian dan menjalankan pemeriksaan di kawasan letupan.
Laluan dari Persimpangan Sapom hingga ke Kampung Saba Baharu di Daerah Tak Bai turut ditutup sepenuhnya bagi membolehkan Unit Pemusnah Bom (EOD) dan pasukan forensik menjalankan siasatan serta pemeriksaan terperinci di lokasi kejadian.
Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa Thailand.
Sebelum ini polis Kelantan telah mengeluarkan peringatan berulang kali berhubung aspek keselamatan di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani susulan siri letupan bom di beberapa lokasi, selain menggesa orang ramai tidak mengambil risiko sekiranya tiada urusan penting.