Operasi ketenteraan AS ke atas Iran bukan “perang tanpa akhir” – Hegseth

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth / REUTERS

WASHINGTON, 2 Mei – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, menegaskan bahawa operasi ketenteraan terhadap Iran tidak akan menjadi “perang tanpa akhir”.

RINGKASAN BERITA AI
  • Objektif operasi melemahkan keupayaan ketenteraan Iran termasuk peluru berpandu, tentera laut dan infrastruktur keselamatan serta menghalang Tehran memiliki senjata nuklear.
  • Amaran tegas: jika tentera Iran bunuh atau ancam rakyat AS, mereka akan diburu tanpa ragu dan tanpa kompromi.
  • AS mendakwa berada dalam kedudukan menang; operasi akan diteruskan selagi perlu bersama Israel menyerang secara tegas.

Dalam taklimat di Arlington, Virginia, Hegseth, menegaskan objektif operasi adalah untuk melemahkan keupayaan ketenteraan Iran termasuk peluru berpandu, tentera laut serta infrastruktur keselamatan negara itu, selain menghalang Tehran daripada memiliki senjata nuklear.

“Iran kini sedang menerima akibatnya… Ini bukan perang menukarkan pemerintah, tetapi Iran itu sendiri telah berubah,” katanya.

Beliau turut memberi amaran keras terhadap sebarang ancaman terhadap rakyat Amerika.

“Jika anda bunuh atau ancam rakyat AS di mana sahaja di dunia, kami akan memburu anda (tentera Iran) tanpa ragu dan tanpa kompromi,” tegasnya.

Dalam pada itu, Hegseth mendakwa bahawa AS berada dalam kedudukan menang dalam konflik tersebut dan operasi ketenteraan akan diteruskan selagi perlu.

“Perang baru sahaja bermula dan kami (AS dan Israel) akan terus menyerang secara tegas. Ini bukan pertempuran seimbang,” katanya.

Beliau turut mendakwa gabungan kekuatan tentera AS dan Israel memberi tekanan besar kepada Iran.

Dalam kenyataan lain, Hegseth berkata kepimpinan Iran kononnya berada dalam keadaan lemah dan tidak stabil, serta menuduh media antarabangsa memberikan liputan tidak tepat mengenai perkembangan konflik. – REUTERS