11 maut bas terbabas di barat Mexico

Pandangan dron menunjukkan barang-barang penumpang berhampiran lokasi di mana sebuah bas pelancong terbalik, berhampiran bandar Amatlan de Canas, di negeri barat Nayarit / REUTERS

MEXICO CITY, 2 Mei – Sekurang-kurangnya 11 orang maut manakala 31 lagi cedera apabila sebuah bas pelancong terbabas dan terbalik di negeri Nayarit, dalam kejadian pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bas dari Jalisco hilang kawalan lalu terjunam dari lebuh raya berhampiran Amatlan de Canas.
  • Penumpang menuju ke pusat rekreasi untuk cuti Hari Pekerja.
  • Pasukan kecemasan Nayarit dan Jalisco dikerahkan; laluan ditutup; imej tunjukkan bas terbalik diselaputi lumpur.

Menurut pihak berkuasa tempatan, bas yang dalam perjalanan dari Jalisco itu hilang kawalan sebelum terjunam dari lebuh raya berhampiran bandar Amatlan de Canas.

Kesemua penumpang dalam perjalanan menuju ke sebuah pusat rekreasi bersempena cuti Hari Pekerja.

Pasukan kecemasan dari Nayarit dan Jalisco segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat, selain menutup laluan terbabit untuk siasatan lanjut.

Imej yang dikongsi pihak berkuasa menunjukkan bas berkenaan terbalik di tepi jalan dalam keadaan diselaputi lumpur.

Kemalangan bas maut dilaporkan kerap berlaku di Amerika Latin termasuk Mexico, berikutan faktor keadaan jalan raya dan tahap keselamatan kenderaan.

Pada September lalu, sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 61 cedera apabila sebuah kereta api merempuh bas dua tingkat di tengah Mexico. Pada Februari 2025 pula, lebih 40 orang terkorban apabila sebuah bas terbakar selepas merempuh treler di selatan negara itu.

Bas kekal menjadi antara pengangkutan utama di Mexico berikutan rangkaian kereta api penumpang yang terhad, walaupun kerajaan pimpinan Presiden Claudia Sheinbaum sedang berusaha memperluas rangkaian rel bagi menghubungkan lebih banyak wilayah di utara dan tengah negara itu. – REUTERS